Sunday 16 November 2014

PENYAMUN PUTUS TANGAN KANAN DITETAK TUAN RUMAH


SEREMBAN : Seorang penjenayah putus tangan kanan akibat ditetak oleh tuan rumah yang dicerobohinya di Taman Sikamat Utama di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, empat lelaki bersenjatakan parang memasuki rumah teres setingkat yang dihuni sepasang suami isteri dengan memotong besi tingkap.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata dua daripada empat lelaki terbabit memasuki sebuah bilik dan menyerang tuan rumah dengan menumbuk mukanya bertubi-tubi.

Bagaimanapun, katanya mangsa melawan balik dan berjaya mengambil sebilah parang lalu melibas seorang penyerang."Penyerang terbabit putus tangan kanan dan melarikan diri dari rumah itu, tetapi ditemui terbaring di kawasan semak berdekatan. Tiga rakannya yang lain melarikan diri dengan menaiki sebuah van putih," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, penjenayah terbabit bersama tangan yang putus dan mangsa yang cedera pada muka dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar Seremban untuk rawatan.

"Siasatan mendapati pasangan suami isteri yang kerugian kira-kira RM5,000 akibat kehilangan barang kemas dan wang tunai serta empat penjenayah terbabit adalah etnik Rohingya dari Myanmar," katanya.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. - Berita Harian

No comments: