Monday, 13 October 2014

BEKAS PELAJAR WANITA JURUSAN HAFAZAN, AL-QURAN DAN SUNNAH LARI KE SYRIA NAK KAHWIN DENGAN MILITAN ISIS


Walaupun pelbagai usaha telah dilakukan kerajaan untuk melarang rakyat Malaysia pergi berjuang bersama kumpulan militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) di Syria, namun masih ada yang berdegil untuk ke sana dengan alasan ingin mati syahid.

Malah, golongan wanita juga sanggup menggadai masa depan mereka di Syria semata-mata ingin berkahwin dengan pejuang ISIS tanpa menyedari kemungkinan mereka akan dieksploitasi dan dikhuatiri hanya menjadi 'hamba seks'.


Terbaharu, bekas pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) bernama Syamimi yang baru berusia 20 tahun nekad lari ke Syria semata-mata mahu berkahwin dengan pejuang ISIS yang dikenalinya melalui Facebook.


Gadis sunti itu sanggup mem­belakangi kasih-sayang ibu bapanya sendiri kerana terpengaruh dengan hasutan pejuang ISIS itu yang merupakan seorang lelaki rakyat Malaysia.


Lelaki itu difahamkan adalah bekas pemuzik sebuah kumpulan rock terkenal tanah air pada 1990-an yang dikenali sebagai Akel Zainal, yang kini berada di Syria untuk berperang.


Syamimi difahamkan telah lari dari rumah pada malam sambutan Hari Raya Aidiladha, 4 Oktober lalu dan dikatakan terus bertolak ke Istanbul, Turki melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


Dia dikatakan keluar dari rumah untuk membeli penyembur deodoran, ketika keluarganya sedang bersiap-siap mahu pulang ke Pasir Mas, Kelantan bagi menyambut pe­rayaan Aidiladha.


Syamimi dipercayai diambil oleh beberapa individu yang tidak dikenali di kawasan rumahnya di Bandar Sri Putra untuk dihantar ke KLIA dan kemudiannya menaiki pesawat Turkish Airlines ke Istanbul, pada malam itu juga.


Bekas pelajar jurusan Hafazan serta jurusan Al-Quran dan Sunnah itu dipercayai telah masuk ke Syria dari sempadan Hatay di Turki, kelmarin, untuk menyertai sekumpulan rakyat Malaysia di negara bergolak itu.


Sumber berkata, Syamimi sering berhubung dengan Akel melalui Facebook dan berlarutan sehingga lelaki itu sendiri menghubunginya melalui telefon bimbit beberapa kali, ketika gadis itu berada di rumah.


"Syamimi tidak tamat belajar di KUIS dan memilih untuk berada di rumah. Ketika itulah dia dipercayai berkomunikasi dengan Akel di Facebook dan kemudian menjadi 'rapat'.


"Dia dikatakan pernah bercerita tentang Akel dan sebuah kumpulan muzik terkenal kepada ibunya namun keluarganya tidak mengesyaki apa-apa sehinggalah dia hilang pada 4 Oktober lalu.


"Dia dikesan telah berlepas ke Turki dan masuk ke Syria untuk menyertai perjuangan ISIS seterusnya akan berkahwin dengan Akel," katanya.


Sumber berkata, Syamimi berkemungkinan telah dipengaruhi Akel untuk berperang dan mati syahid di negara bergolak itu.


"Akel di dalam Facebook miliknya secara terang-terangan telah memperkenalkan diri sebagai mujahidin dari Malaysia yang berjuang menuntut keadilan di bumi Syria.


Perkara itu dilihat telah mempengaruhi ramai anak muda termasuklah gadis untuk menuruti langkahnya.


"Keadaan sama terjadi kepada Syamimi dan dia dikesan terpengaruh dengan 'kredibiliti' Akel sehingga sanggup meninggalkan keluarga dan ke Syria untuk menyertai perjuangan ISIS.


"Tanpa disedari, dia sebenarnya dieksploitasi dan dibimbing akan menjadi hamba seks," kata sumber.


Baru-baru ini, Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas, Bukit Aman telah menahan seorang wanita berusia 25 tahun di KLIA2 selepas dikatakan mahu ke Syria untuk berkahwin dengan militan ISIS.


Sebelum ini, seorang wanita rakyat tempatan yang digelar Dr. Shamdikesan berada di Syria dan berkahwin dengan ahli ISIS.


Sehingga kini sekurang-kurang­nya 22 rakyat Malaysia dikesan berada dan terlibat dalam kancah peperangan di negara bergolak itu. (SUMBER)