Tuesday, 21 October 2014

TANAH RUNTUH ANCAM PENDUDUK APARTMEN TERATAI BUKIT BERUNTUNG


Kira-kira 1,500 penduduk Apartmen Teratai, Taman Bukit Raya dekat Bukit Beruntung dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Bunga Raya ekoran kejadian tanah runtuh.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Baharu Noor Azhar Tajudin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.44 pagi sebelum tiba di lokasi pada jam 11.20 pagi.



"Siasatan awal mendapati berlaku pergerakan tanah runtuh kira-kira 15 meter dari kawasan perumahan. Demi keselamatan penduduk kami mengarahkan penduduk apartment itu berpindah sementara ke Sekolah Kebangsaan Bunga Raya," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata penduduk perlu menunggu sekurang-kurangnya tiga hari bagi mengetahui keputusan yang dibuat Jabatan Kerja Raya sama ada selamat atau tidak untuk mereka tinggal di situ.

"Kami tidak boleh jangka bila mereka akan dibenarkan balik ke kediaman masing-masing kerana ia memerlukan masa untuk menyiasat dan mengenal pasti akan keselamatan kawasan itu selepas berlakunya tanah runtuh," katanya.

Azhar berkata ketika ini pergerakan tanah masih lagi berlaku dan pemantauan terus dijalankan.

- Bernama