
Pendang : Kira-kira 10 buah rumah dan sebuah sekolah rendah di Kampung Alor Besar, di sini, mengalami kerosakan akibat dilanda puting beliung kira-kira jam 4 petang tadi.
Saksi kejadian Mohd Hafizi Abdul Rahman, 26, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di rumah dan tiba-tiba terdengar bunyi angin kuat.

"Sebaik keluar rumah, saya terkejut melihat angin pusaran setinggi bangunan empat tingkat kira-kira 100 meter dari rumah saya.
"Saya segera masuk ke dalam rumah dan mencari tempat untuk berlindung kerana khuatir angin kuat itu merebak ke kawasan rumah saya," katanya.

Katanya, kejadian kali pertama berlaku itu menyebabkan semua penduduk panik, namun bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Sementara itu, Pegawai Rendah RELA Daerah Pendang Zulkifli Nayan berkata, sebaik menerima laporan seramai lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian dibantu pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).

"Pemeriksaan awal mendapati tujuh rumah musnah termasuk sekolah mengalami kerosakan teruk, manakala tiga rumah mengalami kerosakan kecil membabitkan bahagian bumbung dan dinding.

"Selain itu difahamkan makmal komputer dan bilik darjah bagi murid pra-persekolahan turut musnah," katanya.


Kredit gambar : UtaraNews, rossacalla, Kedahkini
