Monday, 6 October 2014

BOT TEMPUR TLDM BERSAMA 7 KREW DITEMUI SELAMAT... ALHAMDULILLAH


KUALA LUMPUR : Bot tempur CB204 dan kesemua tujuh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia ditemui selamat, menurut Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.


Terdahulu, kedudukan bot tempur yang terputus hubungan dengan kapal pengiring KD Paus semasa dalam perjalanan ke Stesen LIMA TLDM di Terumbu Layang-Layang, Sabah dilaporkan telah dikenal pasti.

Bot tempur CB204 itu semalam dilaporkan terputus hubungan ketika dalam perjalanan ke Gugusan Semarang Peninjau kira-kira pukul 1.05 petang. Ia dipercayai hilang dalam cuaca buruk di perairan Sabah dengan posisi terakhir bot tempur berkenaan adalah di kedudukan 20 batu nautika ke timur laut Pulau Mengalum.

Gerakan mencari dan menyelamat (SAR) bot tersebut telah melibatkan 6 buah kapal dan 3 buah pesawat.

Panglima TLDM, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar melalui twitnya menyatakan bahawa kapal KD Ganas telah menerima panggilan kecemasan daripada bot CB204 yang mengalami masalah enjiin dan gear stering itu pada jam 3 petang.

Sementara itu, Twitter Bernama menyatakan, dengan memetik kenyataan Abdul Aziz, bahawa keadaan 7 anggota TLDM bot CB204 masih belum dipastikan. Buat masa ini, KD Ganas dan KD Lekiu dihantar ke lokasi terakhir panggilan kecemasan dibuat.

Sumber: Astro Awani