Monday, 6 October 2014

PEMUDA MAUT ROKOK ELEKTRIK MELETUP DI DADA


BINTULU : Hasrat seorang lelaki bersama rakannya ke sebuah kedai kopi untuk minum bersama tidak kesampaian apabila ketika berjalan di kawasan pejalan kaki di hadapan Tamu Bintulu, mangsa maut selepas rokok elektroniknya meletup secara tiba-tiba pagi semalam.

Sumber berkata, mangsa yang merupakan seorang pemandu van dikenali sebagai Lau, 53, ketika kejadian berhasrat mengambil penumpang tetapi kerana masa masih lama, dia mengajak kawannya berjalan kaki menuju ke sebuah kedai kopi.

Semasa berjalan tanpa diduga rokok elektronik mangsa tiba-tiba meletup dan dipercayai bateri pada rokok elektronik itu terkeluar dan terkena dada mangsa menyebabkan mangsa rebah.

Rakannya yang terkejut cuba membantu dan mendapati dada mangsa ada kesan berlubang dan terbakar.

Rakan mangsa memanggil-manggil nama mangsa kerana matanya masih terbuka tetapi tidak lama selepas itu, mangsa terus tidak sedarkan diri.

Orang awam yang berada berdekatan terus menghubungi ambulans Hospital Bintulu dan pihak polis.

Anggota paramedik yang memeriksa mangsa di tempat kejadian mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.

Begitupun punca kematian mangsa masih dalam siasatan selepas bedah siasat selesai dijalankan. – THE BORNEO POST

* Dalam pada itu, sebuah lagi akhbar tempatan hari ini didapati turut melaporkan berita di atas namun punca kematian didakwa bukanlah rokok elektronik tetapi senjata berbentuk ‘ball pen gun’ yang meletup ketika dipegang lalu terkena dada mangsa.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, mangsa berusia 43 tahun tersebut disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas kesan peluru dari senjata itu mengena tepat pada jantungnya lapor HARIAN METRO.

Berbeza dengan kenyataan disiarkan The Borneo Post, Harian Metro menulis kawan mangsa memaklumkan senjata seperti ‘ball pen gun’ masih di tangan mangsa yang sempat memberitahu dadanya sakit sejurus sebelum meninggal dunia.