Tuesday 30 September 2014

SAIFUDDIN ABDULLAH..... INI SOALAN UNTUK KAMU !!!


Berikut disenaraikan 7 soalan untuk kamu.... Saifuddin Abdullah.



AKTA HASUTAN

1. Selepas Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dihapuskan adakah keselamatan, keamanan dan keharmonian di dalam negara kita bertambah baik atau bertambah buruk? 

Kenyataannya, mereka semakin biadap mencabar undang-undang, memperlekeh instrumen dan tatabernegara. Percubaan untuk merosakkan keamanan dalam negara semakin menjadi-jadi, pelbagai provokasi menghiris hati dikeluarkan, Ketua Polis Negara digelar Nazi, Polis dihina monkey, orang Melayu dipanggil babi, isntitusi Raja-Raja dicabar. Semua ini bentuk-bentuk hasut yang bakal membakar api perkauman dan keamanan dalam negara boleh hancur sekelip mata.

2. Apabila Akta Sosma menggantikan ISA, anasir-anasir subversif dan musuh-musuh dalam selimut, bukan sahaja tidak takut malah tidak berasa gerun dengan Akta Sosma itu. Begitu juga dengan nama Akta Keharmonian Nasional, tiada rasa apa-apa kegerunan di dalam hati anasir subversif untuk menghasut, berbanding Akta Hasutan didengar sahaja terasa gerun. Soalan kedua, yang mana anda akan lebih gerun mendengarnya Akta Hasutan atau Akta Keharmonian?

3. Datuk katakan semakin ramai orang mahu Akta Hasutan dihapuskan. Berapa ramai? Siapakah orang-orang itu? Datuk ada statistiknya? Jangan membuat kesimpulan umum tanpa sokongan fakta dan data! Jangan memberi gambaran yang salah kepada Perdana Menteri.

4. Datuk bercakap hal hak asasi dan kebebasan rakyat, itu adalah doktrin barat yang disebut oleh Profesor Samuel Huntington sebagai pertembungan tamadun. Sebagai sebuah negara di mana Islam menjadi agama persekutuan dan anutan majoriti sejak sebelum merdeka, kita mempunyai nilai-nilai Islam, malah Islam jauh lebih baik berbanding doktrin barat yang diketuai Amerika. 

Adakah menjadi hak asasi rakyat untuk mencabar Raja-Raja dan mencabar undang-undang negara? Adakah menjadi kebebasan yang dibenarkan untuk melabel alat-alat negara dengan begitu hina dan dina?


KEISTIMEWAAN AHLI PARLIMEN
5. Datuk menuduh penyokong mempertahan Akta Hasutan sebagai tidak substantif. Apakah yang tidak substantif? Hari ini mereka bukan sahaja memperlekeh institusi Raja-Raja yang dipertahan di dalam Akta Hasutan, malah mereka mencabarnya. Hari ini bukan sahaja mereka mempertikai dan mengungkit hak istimewa orang Melayu tetapi mereka mahu menghapuskannya dan menyamaratakannya konon atas nama keadilan. Malangnya, apabila mereka memerintah adakah hak istimewa orang-orang Melayu dihormati? 

Di luar sana, ada ramai anak-anak Melayu yang masih dambakan bantuan kerajaan, kita tidak sepatutnya mempertaruh masa hadapan dan hak istimewa mereka atas nama hak asasi.

6. Saya mencabar Datuk Saifuddin Abdullah menetap selama 3 tahun di Singapura atau di negeri Pulau Pinang. Sekiranya Datuk boleh bertahan, saya akan menukar pendirian saya supaya Akta Hasutan dimansuhkan. Kenapa di Singapura dan Pulau Pinang? Kerana di sana barangkali Datuk akan dapat merasai mengapa Akta Hasutan mesti dikekalkan. 

Oleh kerana Datuk duduk di negeri yang ada Raja-Raja maka keamanan, keharmonian dan kebahagiaan dapat dinikmati. Sebaliknya, apabila Akta Hasutan berjaya dihapuskan dan seterusnya menjejaskan institusi Raja-Raja, adakah ada jaminan huru-hara tidak akan berlaku. Sedarilah, krisis di Selangor baru-baru ini membuktikan Sultan Selangor berjaya mengelak rakyat dan negeri Selangor diambang porak-peranda!

7. Dalam perjalanan kita menuju negara maju pada tahun 2020, negara kita memerlukan sebuah undang-undang yang tegas dan kuat. Komposisi kaum dan kepelbagaian fahaman yang berpotensi menggugat keamanan negara boleh diatasi dengan adanya suatu undang-undang yang digeruni seperti ISA dan Akta Hasutan. 

Isunya, kalau anda tidak menghasut, tiada niat menghasut, tidak bertindak menghasut dan sebagainya mengapa perlu takut kepada Akta Hasutan! Akta ini hanya digunakan kepada mereka yang mempunyai niat yang buruk sahaja.

Ingatlah pesanan mendiang pakar psywar mendiang C.C. Too, katanya komunis memang sudah kalah di Malaysia tetapi fahaman komunis tidak pernah mati, malahan ianya bertukar dalam bentuk lain yang lebih kompleks.

Sekarang pun, belum pun sempat Akta Hasutan dihapuskan atau dipinda, bermacam-macam sudah perbuatan hasut-menghasut berlaku. Bayangkan jika esok Akta Hasutan ini sudah tiada, adakah ada jaminan keamanan dan keharmonian negara boleh dikekalkan?

Ayat Tun Dr. Mahathir yang popular, kamu Melayu, 'Melayu mudah lupa'!