PUTRAJAYA 13 Ogos - Individu yang didakwa sebagai penulis blog
kontroversi www.papagomo.com, Wan Muhammad Azri Wan Deris yang kini
sedang berdepan dengan saman bernilai RM850 Ribu dilihat tampil di
Istana Kehakiman di sini tanpa diiringi peguam bagi menyerahkan beberapa
afidavit tambahan dan usul dokumen sokongan.
Wan Muhammad Azri yang kemudiannya ditemui Rakyat News berkata, walaupun tidak diwakili peguam kerana faktor kewangan tetapi beliau tetap mahu menyelesaikan kes terbabit dengan merayu ke peringkat mahkamah yang lebih tinggi bagi menegakkan kebenaran selain membuktikan kepada rakyat Malaysia identiti sebenar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya mengharapkan agar Anwar tidak bersikap berdolak dalik di dalam kes (rayuan) ini dan saya sendiri berharap kes dapat diselesaikan segera kerana rakyat tentu mempunyai perasaan ingin tahu tentang apa perkara sebenar yang berlaku melibatkan Anwar.
"Di atas faktor kewangan yang saya tidak ada, jadi saya rasakan lebih sesuai untuk saya mewakili diri saya sendiri untuk menentang Anwar serta barisan peguamnya," katanya di Perkarangan Istana Kehakiman di sini hari ini.
Wan Muhammad Azri menjelaskan, beliau telah memberikan segala bukti kepada pihak mahkamah untuk dinilai dan mengharapkan mahkamah akan membuat penghakiman yang wajar berdasarkan bukti-bukti yang sedia ada.
"Saya telah memberikan yang terbaik kepada pihak mahkamah untuk menilai segala keterangan dan bukti-bukti saya, untuk membandingkan dengan dengan pihak plaintif (Anwar).
Pada 28 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Wan Muhammad Azri membayar ganti rugi RM800,000 kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hakim Rosilah Yop membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak plaintif berjaya membuktikan kes dan mengarahkan defendan membayar ganti rugi kos sebanyak RM50,000.
Mahkamah Tinggi turut menolak permohonan Wan Muhammad Azri untuk menangguhkan bayaran ganti rugi RM850,000 kepada Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana ingin membawa kes tersebut ke mahkamah rayuan pada 20 Jun lalu.
Keputusan tersebut dibuat oleh pesuruhjaya kehakiman Rosilah Yop dikamarnya dan menetapkan kos sebanyak RM5,000.
Sementara itu, ketika diminta mengulas tindakan bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan yang memfailkan saman bernilai RM50 Juta terhadap ketua pembangkang itu berhubung kes liwat, beliau menyifatkan ia merupakan tindakan yang tepat oleh mangsa liwat Anwar itu yang sebelum ini difitnah dan menerima pelbagai tohmahan.
"Anwar sendiri telah menarik saman beliau terhadap Saiful pada 2013, jadi tindakan saman oleh Saiful pada hari ini jelas menunjukkan bahawa Saiful telah menjadi mangsa fitnah dan tohmahan oleh pihak Anwar," ujarnya.
No comments:
Post a Comment