Wednesday 13 August 2014

SULTAN SELANGOR PERKENAN PEMECATAN 5 EXCO

 

SHAH ALAM - Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini mendedahkan surat perkenan daripada Sultan Selangor kepada beliau untuk memecat lima Exco PKR dan DAP, semalam. Abdul Khalid berkata surat balas daripada Sultan Selangor itu diperolehinya dua jam selepas beliau menulis kepada Tuanku berhubung kenyataan bersama lima bekas Exco itu yang enggan bekerjasama dengannya. 


"Semalam jam 2 petang saya tulis surat kepada Sultan selangor selepas semua Exco itu tulis kenyataan bersama untuk tidak bersama-sama dalam pentadbiran kerajaan negeri. "Sultan Selangor telah balas secara bertulis supaya Exco berkenaan tidak bertugas lagi," katanya pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat mingguan Exco, di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, hari ini. 

Beliau berkata demikian membidas kenyataan lima Exco dipecat itu yang mendakwa Abdul Khalid tidak memperolehi perkenan Sultan Selangor untuk mengugurkan tiga wakil DAP dan dua wakil PKR. Lima Exco terbabit ialah - 
 
  1. Datuk Teng Chang Khim, 
  2. Ean Yong Hian Wah, 
  3. Elizabeth Wong, 
  4. Ganabatirau Veraman dan 
  5. Dr Daroyah Alwi. 
 
Dalam pada itu, mesyuarat mingguan Exco hari ini dihadiri oleh empat Exco Selangor Pas dan tiga pegawai ex-officio. 

Antara Exco Pas Selangor yang hadir ialah Iskandar Abdul Samad, Dr Halimah Ali, Dr Ahmad Yunus Hairi dan Salehin Mukhyi. Manakala pegawai ex-officio pula ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi; Penasihat Undang-undang, Datuk Zauyah Be T.Loth Khan dan Pegawai Kewangan, Datuk Noordin Sulaiman. 

Sementara itu, Abdul Khalid menegaskan lima Exco dipecat itu tidak dibenarkan meneruskan khidmat mereka selepas kenyataan semalam bercanggah dengan 10 akujanji dan sumpah kesetiaan di hadapan Sultan Selangor semasa mereka mengangkat sumpah sebagai Exco.
 
Di akaun  facebook rasmi beliau, Tan Sri Khalid Ibrahim  menulis :

Alhamdulillah, saya bersyukur kerana hari ini Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah mengadakan mesyuarat seperti biasa dengan korum yang mencukupi bersama empat Ahli MMKN dan tiga pegawai Ex-Officio.

Jumlah ini memadai dan sah mengikut Artikel 53 (2) (b) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Selangor yang menetapkan sekurang-kurangnya mempunyai empat (4) anggota MMKN untuk mentadbir negeri secara sah.

MMKN juga telah diberitahu tentang perkenan DYMM Sultan Selangor untuk tidak meneruskan perkhidmatan ahli 5 orang pegawai MMKN daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) berkuatkuasa semalam.

DYMM Sultan Selangor telah berkenan untuk membatalkan pelantikan EXCO-EXCO yang terlibat atas nasihat daripada Dato’ Menteri Besar secara bertulis.

Kita berpendapat bahawa 5 EXCO tersebut tidak boleh diteruskan perkhidmatan mereka setelah mengeluarkan kenyataan bersama untuk tidak mahu mempunyai sebarang hubungan dengan Menteri Besar dan hanya menghadiri mesyuarat MMKN bagi memantau perjalanan Kerajaan Negeri serta hanya akan menurut kehendak parti yang mereka dokongi.

Kenyataan ini sekaligus bercanggah dengan 10 Aku Janji dan Sumpah Kesetiaan yang telah dilafazkan ketika mengangkat sumpah di hadapan DYMM Tuanku Sultan.

Saya berharap rakyat Selangor tidak keliru dengan situasi ini kerana penamatan khidmat EXCO-EXCO ini dibuat secara sah mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.

Saya berharap rakyat Selangor bertenang kerana pentadbiran Kerajaan Negeri berjalan seperti biasa manakala agenda membela kebajikan untuk rakyat akan diteruskan dan diutamakan.

YAB TAN SRI DATO’ SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR 
13 OGOS 2014
 
Untuk rekod, semalam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Datuk Teng Chang Khim, berkata surat pemecatan beliau daripada jawatan EXCO negeri adalah tidak sah kerana beliau dilantik oleh Sultan Selangor. 

Pemecatan tidak sah, kami masih EXCO  - Teng
 
Sehubungan itu, beliau yang juga EXCO Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan berkata, semua barisan EXCO PKR dan DAP akan meneruskan kerja masing-masing kerana pemecatan mereka tidak sah dari segi undang-undang. Baca seterusnya.... di sini
 

No comments: