KUALA LUMPUR 2 Ogos - Pihak berkuasa diminta untuk tidak bersikap selektif dalam mengenakan tindakan termasuk kepada pengguna media sosial yang menggunakan indentiti sebagai Kelvin Yap menghina kesucian sambutan Aidilfitri baru-baru ini.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan (PPUWP) Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, ianya selaras sepertimana tindakan pihak polis mengenakan hukuman kepada insiden 'Kiki Peugeot' yang tersebar di laman sosial sebelum ini.
"Pergerakan Pemuda UMMO Wilayah Persekutuan memandang serius perkara ini kerana telah semakin berleluasa dan terbukti sejak kebelakangan ini sebilangan orang Cina berjiwa Pembangkang telah semakin biadap tanpa menghiraukan sensitiviti agama lain terutama Islam di negara ini.
"Lebih mengejutkan juga adalah tindakan pihak berkuasa yang nampaknya mengamalkan 'selective prosecution' apabila terdapat satu kes yang diklasifikasikan sebagai 'samseng jalanan' terhadap seorang wanita yang dituduh bernama Kiki,"katanya menerusi kenyataan kepada media, hari ini.
Katanya, pihak polis dengan pantas menahan Kiki atau nama sebenarnya Siti Fairrah Asyikin dan kemudian menjatuhkan hukuman denda serta dikehendaki melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.
"Sama juga kes yang melibatkan Ustaz Shahul yang dikatakan membuat kenyataan berunsur perkauman & menghina masyarakat India. Begitu cepat beliau dipanggil pihak berkuasa untuk siasatan.
"Tetapi lebih menarik setelah 7 hari berlalu, tiada apa-apa tindakan yang diambil terhadap Kelvin Yip walaupun beberapa laporan Polis telah dibuat dan telah menjadi viral di laman sosial seperti popularnya Kiki," ujarnya.
Tambah beliau, pihak berkuasa seharusnya menjaga kepentingan undang-undang dan yang paling penting, menjaga keselamatan semua pihak tidak kira bangsa, agama mahupun pangkat.
"Saya menggesa agar Peguam Negara memberikan penjelasan kepada kes-kes yang tertangguh melibatkan sensitiviti Bangsa dan Agama," tegasnya.
Sebelum ini, Kelvin memuatnaik status menghina laungan takbir yang telah menyinggung perasaan umat Islam negara dan kemudian bertindak memadamkannya setelah mendapat pelbagai kecaman.
Insiden ini turut mendapat perhatian Menteri Belia Sukan Khairy Jamaluddin yang juga menggesa Kelvin dihukum sepertimana uyang dikenakan terhadap Kiki.
No comments:
Post a Comment