Thursday 3 July 2014

SAH! RIZALMAN DIHANTAR SEMULA KE NEW ZEALAND BANTU SIASATAN SERANGAN SEKSUAL !


Wisma Putra hari ini mengesahkan diplomat Malaysia yang merupakan suspek kepada sebuah kes serangan seksual terhadap wanita berusia 21 tahun akan dihantar semula ke New Zealand.

 Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan hari ini berkata, Muhammad Rizalman Ismail yang merupakan bekas pembantu kakitangan pertahanan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington akan kembali untuk membantu siasatan dalam kes itu.

Keputusan itu disampaikan oleh beliau kepada Menteri Luar New Zealand, Murray McCully pada petang ini.


"Kerajaan Malaysia berpendapat bahawa keputusan ini akan memberi peluang kepada suspek untuk bekerjasama  sepenuhnya bagi membantu pihak berkuasa New Zealand terhadap siasatan yang sedang dijalankan mengenai dakwaan yang dibuat terhadapnya".

"Malaysia mempunyai keyakinan dalam sistem undang-undang New Zealand dan mempunyai keyakinan tinggi bahawa Rizalman akan diberi layanan yang adil di bawah undang-undang ini," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya turut menjamin  akan menyediakan bantuan undang-undang kepada tertuduh sekiranya perlu.

Suspek didakwa mengekori dan menyerang seorang wanita berusia 21 tahun secara seksual di rumahnya di Wellington pada 9 Mei lalu.

Beliau dihadapkan di mahkamah New Zealand pada 10 Mei bagi perbicaraan kali pertama dan dibawa pulang ke Malaysia kerana beliau didakwa mempunyai kekebalan diplomatik.

SINARHARIAN

No comments: