Bekas model bikini berbangsa Cina, Felixia Yeap tidak membenarkan sebarang liputan media atau publisiti mengenai majlis pengislamannya yang dijangka diadakan pada Khamis.
Enggan mendedahkan lokasi dan masa dia akan memeluk Islam, Felixia, 28, mahu semua pihak khususnya golongan media menghormati niatnya untuk berhijrah.
“Benar saya akan mengucap kalimah syahadah hari ini. Tapi biarlah lokasi dan masanya menjadi hak peribadi saya.
“Apa yang pasti bukan di Hidayah Centre, saya tidak pernah ke sana,” katanya.
Penegasan bekas model seksi beberapa majalah antarabangsa termasuk majalah lucah, Playboy itu dibuat berikutan salah faham yang timbul kononnya dia gagal muncul di pejabat Hidayah Centre di Taman Melawati, Kuala Lumpur iaitu lokasi dia dikatakan akan memeluk Islam.
Sejak awal pagi Khamis, sekumpulan wakil media hadir ke lokasi berkenaan bagi merakamkan detik penghijrahan Felixia namun kecewa apabila dia tidak hadir.
“Siapa yang sebarkan berita ini? Sebarang penjelasan sila hubungi Hidayah Centre. Apa yang pasti bukan dari saya,” katanya.
Pada 27 Jun lalu, Felixia mengumumkan secara rasmi untuk memeluk Islam menerusi akaun Facebooknya selepas beberapa bulan mendalami hal ehwal Islam.
Dia memilih untuk memeluk Islam pada Khamis bersempena dengan sambutan ulang tahun kelahirannya hari ini yang kebetulan jatuh pada bulan Ramadan.
Sementara itu... Model Felixia Yeap, 28, menganggap hari ini adalah hari kelahiran semula dirinya setelah menganut agama Islam secara rasmi dengan mengucap dua kalimah syahadah.
“Hari ini bukan hanya hari lahir saya (ulang tahun), tetapi hari kelahiran semula saya. Hari saya kembali akhirnya selepas 28 tahun mencari jalan pulang. Pada hari ini, iaitu hari bersejarah dalam hidup, saya akan menjadi seorang Islam secara rasmi. 3 Julai 2014, bersamaan dengan 5 Ramadan 1435,” kata Felixia berkongsi perasaan dalam laman Fanpage Felixia Yeap.
Berkongsi tentang penghijrahannya kepada agama Islam juga, menurut Felixia, dia sangat bertuah kerana mendapat sokongan keluarga dalam penghijrahannya untuk memeluk agama Islam, terutamanya ibu yang melahirkannya.
“Saya bertuah kerana dikurniakan seorang ibu yang bukan sahaja tabah untuk membesarkan saya dan adik dalam keluarga, tetapi rahmat yang terbesar adalah apabila dia, seorang yang bukan Islam, langsung tidak mengetahui tentang agama Islam (kecuali yang Islam tidak boleh makan khinzir) dan seringkali disindir saudara mara yang lain kerana anak perempuannya bertudung sehingga ke muka depan suratkhabar dan sebagainya, tidak membantah.
“Malah, ibu merestui keputusan ini apabila saya memberitahunya yang saya sedang mempelajari tentang agama Islam dan bercadang untuk memeluknya. Ibu kata saya sudah banyak berubah lebih baik,” tulis Felixia lagi.
Bekas model majalah Playboy itu dikatakan bakal mengucap syahadah di satu lokasi yang dirahsiakan kepada pihak akhbar, di sini, sekitar pukul 11 pagi ini.
Sebelum ini, menurut Felixia, dia tidak menganut sebarang agama kerana dibesarkan dalam keluarga yang tidak mempercayai sebarang agama.
“Tidak ada apa-apa bimbingan agama, cuma berbekalkan nasihat daripada ibu saya iaitu jangan menyusahkan orang lain, jangan membiarkan mana-mana lelaki mengambil kesempatan, jangan berbuat jahat, jangan tertipu dengan orang di bandar dan jaga diri baik-baik.
Dalam pencariannya sebelum memeluk Islam, dia pernah ke gereja Katolik setiap petang Ahad, dalam tempoh selama dua tahun. Dia juga pernah cuba memahami agama Kristian, selain mengamalkan amalan seorang penganut Buddha.
“Tetapi hati saya tidak pernah merasa dekat dengan Tuhan. Hati saya tidak pernah rasa tersentuh. Saya rasa lebih dekat dengan agama Islam, dengan Allah SWT. Sejak saya mula mengenali ajaran-ajaran agama Islam, saya lebih reda, lebih tenang dan lebih senang bersyukur dalam hidup yang serba sederhana,” katanya yang mula mengenakan tudung kepala semenjak lebih enam bulan lalu.
No comments:
Post a Comment