Tuesday 1 July 2014

HANYA 37 SAHAJA HOTEL DI PAHANG MILIKI SIJIL HALAL YANG SAH


ROMPIN 1 Julai – Sebanyak 37 hotel di Pahang yang mempunyai sijil Halal Malaysia dan daripada jumlah itu hanya tiga melibatkan hotel di Rompin iaitu dua di Kuala Rompin dan satu di Pulau Tioman.
 
Kadi Daerah Rompin, Adnan Mamat, berkata, bagi daerah Rompin, hanya tiga hotel ini yang boleh mempromosikan atau mengiklankan bufet Ramadan.
 
“Tiga hotel yang berkenaan adalah Lanjut Golden Beach and Golf Resort, Hotel Seri Malaysia di Tanjung Gemok dan Sun Beach Resort di Kampung Genting, Pulau Tioman.
 
“Arahan larangan pengiklanan kepada hotel selain yang mempunyai sijil perakuan Halal Malaysia ini adalah selaras dengan surat pekeliling arahan dari Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip),” katanya kepada Sinar Harian.
 
Menurut Adnan, arahan daripada Jaip itu adalah tidak membenarkan mana-mana hotel di negeri Pahang yang tidak mempunyai sijil Halal Malaysia untuk mengiklankan promosi bufet Ramadan.
 
“Selain itu, iklan yang disiar atau dipaparkan juga tidak boleh menyatakan ‘jom berbuka puasa’ atau ‘ditanggung halal’ atau ‘makanan orang Islam’ atau mana-mana frasa yang merujuk kepada makanan yang boleh dimakan oleh orang Islam untuk berbuka puasa.
 
“Larangan yang dikeluarkan ini adalah berpandukan Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 di bawah klausa Perakuan dan Penandaan Halal yang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000,” katanya.
 
Adnan berkata, kepada mana-mana pihak atau individu yang mahu mendapatkan maklumat mengenai senarai hotel halal seluruh Pahang boleh ke Pejabat Agama Islam Daerah (Paid).

No comments: