Hiasan |
SEMBANG Whatsapp penulis dengan Ketua Wanita Isma, Ustazah Norsaleha Mohd Salleh tidak pernah lekang dari kata-kata semangat dan nasihat berguna.
Ustazah seorang yang amat mengambil berat mengenai rakan-rakan tidak kira sama ada beliau baharu kenal atau sudah lama.Ustazah pandai bergurau, tapi pada hemat penulis, kata-kata dan gurauan ustazah kena dan tepat dengan apa yang berlaku pada hari ini.
Kegilaan berselfie, kisah rumah tangga muda-mudi yang semakin berantakan, ditambah dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat membuahkan pelbagai masalah sosial.
Ya, buah fi kiran ustazah membawa kepada perbincangan WOW pada minggu ini. Lihat sahaja institusi kekeluargaan yang runtuh dek kealpaan individu itu sendiri. Salah satunya berpunca daripada tabiat masyarakat pada zaman ini yang serba canggih dengan penggunaan telefon pintar atau smartphone.
Smartphone ibarat suatu racun dalam rumah tangga. Kecurangan meruntuhkan kepercayaan sebelum akhirnya menarik kebahagian pasangan untuk sama-sama runtuh secara perlahan-lahan.
Istana bahagia dicita-citakan tidak berakhir hingga akhir hayat, malah bercambah menjadi kudis dan dosa yang berulang.
Sesungguhnya curang dan cinta terlarang mengundang pelbagai cerita duka. Bagaimana ia berlaku? Salah satunya kerana kecanggihan teknologi smartphone pada masa kini. Dengan gaya hidup serba ranggi dan elegan, memudahkan seseorang berkomunikasi secara terus.
Inilah bahananya telefon canggih; apabila keadaan ini mendorong manusia menikmati keseronokan hidup yang tidak dinikmati semasa muda.
Justeru para pembaca, berhati-hati dan berhemahlah ketika menggunakan aplikasi telefon pintar anda.
WOW minggu ini membawakan isu smartphone, racun rumah tangga.
Ia sekadar teladan dan pedoman untuk pengajaran semua. Usah biar kemudahan canggih ini menjadi racun dalam kehidupan sebenar anda.
Pengakuan 1
Grup chatt, buat suami leka :
SAYA membelikan suami smartphone sebagai hadiah hari jadi setahun lalu. Dia sukakan permainan video, jadi dengan adanya smartphone, bolehlah dia muat turun semua game yang dia suka dan itu lebih memudahkannya.
Berbanding permainan PSP yang mahal dan susah untuk dibawa ke mana-mana.
Bagaimanapun, saya silap kerana ia sebenarnya amat memburukkan keadaan. Suami bukan sahaja melekat di hadapan telefon bimbit 24 jam untuk bermain game, malah sudah semakin leka dengan grup chat (sembang berkumpulan) dalam kalangan rakan-rakan pejabatnya dan kenalan kenalan lama di sekolahnya.
Kadang-kadang saya naik rimas. Di rumah main smartphone, di kedai makan pun dia leka sampai pembantu restoran berdiri lama untuk mengambil pesanan makanan. Apabila saya menegur, kami boleh jadi gaduh.
Bukan soal cemburu, soalnya sekarang dia seperti ketagihan dan leka dengan tanggungjawab utamanya. Ketika makan, dia perlu tumpukan kepada makan.
Ketika bersama saya dan anak-anak, saya dan anak-anaklah yang harus menjadi fokus utamanya. Ini tidak,hanya bersama smartphone. Kadangkala dia senyum dan ketawa sendiri sambil mengutuk rakan-rakan di grup chattnya itu. Suatu hari, saya terdetik hati untuk membuka telefon bimbitnya.
Ternyata, apa yang dia kongsikan bersama rakan-rakan chattingnya adalah sesuatu yang tidak sepatutnya dia sampaikan. Sampai cerita kami bergaduh di dalam kereta pun menjadi isu dan bahan ketawanya bersama rakan.
Saya jadi malu dan tertekan dengan sikap suami danakhirnya memberi kata dua kepadanya. Sama ada hentikan tabiat buruk itu atau kehilangan saya dan anak-anak. – Nor Hayati Salam, 32,Shah Alam.
Pengakuan 2
Bahana smartphone rumah tangga musnah :
SAYA gilakan internet dan saya juga bertanyatanya apakah suami juga melalui masalah sama? Rupa-rupanya apa yang saya duga itu betul. Sejak menggunakan telefon pintar, suami saya sudah mula melekat dengan telefon bimbit.
Dia ada kedudukan dan jawatan. Pada saya, penggunaan telefon pintar untuknya adalah satu keperluan kerana dalam masa sama, ia mempamerkan imej korporat yang dia bawa.
Tetapi sikap suami semakin lama semakin pelik dan merunsingkan. Pada malam hari, dia gemar duduk dalam kereta sambil menghubungi seseorang.
Anak sulung saya yang perasan perubahannya pada suatu malam. Keesokannya, dia buat lagi. Selesai berhubungan menerusi panggilan telefon, dia kelihatan sibuk pula menaip sesuatu.
Kejadian berlarutan selama seminggu. Akhirnya saya ambil keputusan untuk memeriksa telefon bimbit suami. Saya mencuba banyak kata kunci dan akhirnya atas izinNya, saya dapat melihat apa yang tersimpan dalam telefon bimbit suami.
Ada banyak aplikasi game yang menggunakan ikon lucah, termasuk beberapa keping gambar gadis-gadis yang berposing dalam keadaan mengghairahkan.
Saya juga temui nombor telefon atas nama seorang lelaki yang paling kerap dihubunginya, lebih-lebih lagi pada lewat malam. Saya minta suami berterus-terang.
Rupanya nombor itu bukan milik lelaki tetapi seorang perempuan yang telah dinikahinya di Thailand. Saya berasa amat tertipu dan akhirnya perpisahan jalan yang saya pilih. – Hasyati Yahya, 35, Bukit Mertajam.
Pengakuan 3
Tempat berkongsi rasa :
SAYA seorang yang obses dengan aplikasi telefon bimbit. Semua jenis aplikasi saya muat turun sampai jem telefon saya.
Pada mulanya ia sekadar suka-suka untuk isi masa lapang. Saya bekerja sebagai promoter. Pada sebelah siang, saya sibuk di tempat kerja dan selalunya tidak sempat untuk kemas kini aktiviti di telefon bimbit.
Tapi bila balik ke rumah, saya akan terus melekat dengan telefon bimbit. Setiap aktiviti saya nak kongsi bersama rakan-rakan yang ada sebahagiannya saya tak pernah kenal pun. Hanya menerusi maya.
Saya tak tahu kenapa ia seperti jadi satu kemestian untuk saya update semua aktiviti. Bukan tujuan saya untuk mendapatkan perhatian tapi saya seronok dan gembira bila gambar-gambar atau status yang saya kemas kini mendapat like kawan-kawan.
Selepas itu kami akan saling berbalas mesej dan ada kalanya berlarutan sehingga ke pagi. Telefon bimbit pun saya bawa naik ke tempat tidur. Gurauan kawankawan selalu mencuit hati. Gambar-gambar yang dikongsikan pun ada kalanya kelakar.
Saya sedar kadangkala suami saya marah dan kecil hati tapi saya berubah pun paling lama dua hari. Saya tak senang duduk kalau bateri telefon bimbit saya habis.
Saya ada juga muat turun aplikasi lain tapi biasanya tidak lama sebab kenalan dan rakan-rakan terdekat tidak muat turun aplikasi tersebut.
Bergembira di ruangan chating menerusi smartphone bukan bererti saya berniat tidak baik seperti mahu mencari kekasih, tapi ia sekadar suka-suka. – Nurul Syuhada Alwi, 29, Kuala Lumpur.
No comments:
Post a Comment