Monday, 23 June 2014

RAMAI PELAJAR SEKOLAH MENENGAH DI PERLIS PENAGIH AIR KETUM ???

Hiasan

KANGAR - Kajian Jabatan Pendidikan Perlis mendapati sejumlah 20 peratus daripada pelajar tingkatan satu hingga enam di negeri ini terbabit meminum air ketum.

Daun ketum
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata, guru boleh memainkan peranan berkesan untuk membantu pelajar mengatasi masalah ketagihan air ketum.
"Kerajaan negeri bimbang peringkat awal pelajar-pelajar ini menagih air ketum tetapi lama-kelamaan mereka menjadi penagih dadah, ubat batuk atau menghidu gam," katanya semasa berucap merasmikan sambutan Hari Guru peringkat negeri kali ke-43 di Dewan 2020 di sini hari ini.
Azlan melahirkan kebimbangannya bahawa pelajar yang menjadi penagih air ketum sanggup melakukan jenayah untuk mendapatkan wang kerana tidak dapat mengawal ketagihan.
"Saya sedar tanggungjawab ini bukan mudah untuk dipikul kerana guru juga perlu memberi tumpuan terhadap pencapaian akademik para pelajar. Namun saya harap guru yang kerap bersemuka dengan mereka mengambil kesempatan itu untuk membantu," katanya. - Bernama
Sedikit maklumat mengenai 'bahaya' dan 'kesan negatif' daun ketum...

Daun Ketum telah lama menjadi bahan perubatan tradisional sebagai minuman pemulih tenaga bagi wanita yang baru lepas bersalin. Daun ini direbus dan airnya diminum sebagai pemulih tenaga, juga bagi rawatan mengeluarkan angin dalam badan dan bagi merawat sakit belakang. Bagaimanapun air rebusan daun Ketum telah disalahgunakan dan mula dijual secara meluas kepada pengguna biasa.

Pokok Ketum menjadi terkenal pada awal tahun 2003 kerana ia dikatakan berupaya menjadikan seseorang itu ketagihan kerana ia mengandungi mitraginin. Mitraginin telah disenaraikan dalam Third Schedule of Poisons (Psychotrapic Substance) Regulation 1989, Poison Ordinance 1952. Dengan itu pokok Ketum telah diisytiharkan sebagai bahan larangan mulai Januari 2003.


Kesan Daun ketum dari segi Farmakologi
• Bertindak dalam masa 5-10 minit setelah mengambil dan tahan selama 6 jam
• Mengurangkan ketegangan otot
• Menindas sistem saraf pusat
• Memberi kesan penagihan yang sederhana (mildly addictive)
• Kesan berhubungkait dengan dos yang diambil


Kesan Penggunaan Banyak (10-30 Helai Daun Atau Lebih Dalam Sehari)
• Banyak tidur
• Hilang keupayaan untuk bekerja
• Takikardia (denyutan jantung menjadi cepat)
• Delusi paranoid (khayalan buruk-sangka)

Gejala Tarikan
• Hidung dan mata berair
• Cirit birit
• Sakit pada otot dan tulang
• Masalah pergerakan anggota kaki dan tangan
• Sintakan otot (muscle jerking)
• Tingkahlaku agresif dan hostil (sikap bermusuhan)
• Mudah meradang
• Hilang keupayaan bekerja


Nota :  Mencegah lebih baik dari mengubati... jauhkan diri sebelum terlambat. Jangan terpedaya dengan cakap-cakap kawan yang tidak berfakta... semua itu hanya perangkap!

No comments: