MELAKA 21 Mei :
Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu dipertahan sebagai sebuah institusi yang memberikan pendidikan peringkat tinggi untuk orang Melayu, kata Pro-Canselornya Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad.
Beliau berkata UiTM ditubuhkan bagi memberi keistimewaan pendidikan kepada orang Melayu dan Bumiputera lain seperti yang terkandung dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan, justeru sebarang langkah untuk mencabar keistimewaan itu dilihat melanggar Perlembagaan Persekutuan.
"Dalam Perlembagaan kita ada Artikel 153 yang menyebut jelas keistimewaan orang Melayu, kalau UiTM itu dibuka kepada semua orang, di mana keistimewaannya," katanya kepada pemberita di sini Selasa malam.
Beliau sebelum itu menerima Anugerah Tokoh Melayu Melaka 2014 daripada Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron pada sambutan Hari Umno Ke-68 peringkat negeri Melaka.
Isu membuka kemasukan UiTM kepada bukan Melayu kembali menjadi perbualan apabila calon DAP pada pilihan raya kecil Parlimen Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud turut mencadangkan penubuhan institusi seperti UiTM untuk bukan Melayu kerana menurutnya akses pendidikan yang baik perlu diberikan kepada semua rakyat tanpa mengira kaum.
Abdul Rahman yang enggan mengulas penglibatan politik Dyana Sofya yang juga bekas pelajar undang-undang UiTM, menegaskan orang Melayu pada masa ini masih memerlukan UiTM sebagai wadah untuk membangunkan bangsa itu.
Ini kerana, katanya, orang Melayu masih jauh ketinggalan terutama dalam bidang ekonomi dengan bangsa lain di negara ini dan hanya penguasaan ilmu peringkat tinggi yang dapat mendekatkan jurang perbezaan itu.
"Ini (pertahankan UiTM untuk Melayu) bukan nasihat...ini kenyataan yang perlu kita pegang, kita lakukan, kerana tujuan tertentu untuk memajukan orang Melayu.
"Saya bukan orang politik hendak ulas orang politik cakap apa berkenaan UiTM, tetapi saya orang pendidikan yang tegaskan UiTM itu milik orang Melayu," katanya.
Sementara itu, Idris berkata Badan Perhubungan Umno Melaka berjaya mendaftarkan sebanyak 4,123 pengundi baharu daripada keseluruhan 4,989 pengundi baharu yang didaftarkan di negeri ini dalam suku pertama tahun ini.
Beliau berkata angka itu menunjukkan peningkatan amat memberangsangkan sekiranya dibandingkan dengan hanya 29 orang pengundi baharu didaftarkan parti itu di Melaka pada enam bulan pertama selepas pilihan raya umum ke-13 tahun lepas. RakyatNews.
No comments:
Post a Comment