Friday, 31 January 2014

JPJ NAFI OPERASI SEMPENA TAHUN BARU CINA 2014

Hiasan

KENYATAAN MEDIA OLEH YBHG. DATO' SRI ISMAIL BIN AHMAD, KETUA PENGARAH PENGANGKUTAN JALAN MALAYSIA

Jabatan Pengangkutan Jalan telah mengesan khabar angin yang disebarkan melalui media sosial serta khidmat pesanan ringkas (sms) berhubung Operasi Tahun Baharu Cina (Ops TBC) 2014 yang antara lain mendakwa:

i. JPJ akan mengadakan ops penyamaran tanpa sekatan jalan raya (roadblock);

ii. Anggota JPJ diberi target 15 saman;

iii. Anggota JPJ tidak memakai pakaian seragam, dibenarkan menggunakan kenderaan sendiri ketika bertugas dan dibenarkan membuat tuntutan (claim);

iv. Setiap saman dikenakan tidak kurang daripada RM1000;

JPJ ingin menjelaskan bahawa pelaksanaan Ops tbc 2014 oleh semua anggota JPJ di seluruh negara yang bermula dari 24 Januari hingga 9 Februari 2014 perlu mematuhi Pekeliling yang dikeluarkan oleh Ibu Pejabat JPJ Malaysia, Putrajaya bertarikh 3 Januari 2014. Ingin dijelaskan bahawa JPJ mempunyai pasukan penyamaran bagi mengesan kesalahan-kesalahan utama yang boleh menyebabkan kemalangan. Walaubagaimanapun pasukan ini hanya mengumpul bukti bergambar dan menghantar notis siasatan kepada pemilik berdaftar untuk hadir temusiasat bagi menentukan pesalah sebelum saman dikeluarkan.

Dakwaan bahawa JPJ menetapkan target 15 saman kepada seorang anggota semasa Ops TBC 2014 dan kadar kompaun tidak kurang daripada RM1000 adalah tidak benar. Kadar kompaun adalah berdasarkan kepada kadar yang telah ditetapkan iaitu tidak melebihi RM300.

Semua pasukan yang membuat operasi menggunakan kenderaan Jabatan tanpa melibatkan kenderaan sendiri. Mereka juga ditugaskan mengikut syif yang ditetapkan tanpa melibatkan sebarang tuntutan elaun lebih masa atau tuntutan perjalanan.

JPJ ingin menarik perhatian orang ramai bahawa sekiranya didatangi oleh individu yang mendakwa mereka adalah pegawai JPJ tanpa memakai uniform dan gagal menunjukkan kad kuasa, maka individu tersebut adalah disyaki menyamar. Oleh itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terpengaruh dan dinasihatkan membuat laporan segera kepada pihak JPJ atau pihak polis.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan
Malaysia
29 Januari 2014

Sumber: http://www.jpj.gov.my/kenyataan-media

No comments: