SESIAPA sahaja pasti berasa bangga dan amat puas hati jika berjaya mencatat nama dalam Guinness World Record sekali dalam seumur hidup....
Tetapi tidak bagi Ashrita Furman. Dia sentiasa mencari idea baru untuk memecah rekod dunia membuatkan dia berjaya menjadi pemegang rekod Guinness terbanyak di dunia!
Furman, 59, dari Broklyn, New York, menghabiskan kira-kira 34 tahun usianya untuk memecah pelbagai jenis rekod dunia.
Setakat ini, Furman telah mencipta sebanyak 487 rekod rasmi Guinness sejak 1979 dengan 148 daripadanya masih belum berjaya dipecahkan oleh sesiapa.
Antara koleksi rekod yang diciptanya, membelah epal dengan pedang, memotong kentang dengan melompat ke atasnya menggunakan penyodok, mengayuh basikal di dalam air, memecah telur menggunakan ibu jari kaki dan menyeimbangkan mesin rumput menggunakan dagu.
Obsesi Furman bermula ketika dia masih kecil. Dia yang gemar membaca Guinness Book of Records dan sering berangan-angan untuk memecahkan satu rekod dan menyenaraikan namanya di dalam buku tersebut.
Namun memandangkan dia bukanlah seorang budak lelaki yang kuat dan tangkas, Furman hampir putus asa mengejar impiannya itu.
Apabila dewasa, dia belajar mengenai meditasi dan terus berasa positif dengan dirinya serta dapat merasakan tenaga yang hebat untuk dia mencapai impiannya.
Dia berjaya merealisasikan impiannya pada 1979 ketika mencipta rekod lompat bintang terbanyak iaitu sebanyak 27,000 kali dalam tempoh enam jam dan 45 minit di New York.
Sejak itu, dia tekad untuk terus mencipta pelbagai jenis rekod dunia dan Furman melakukannya di seluruh dunia.
Malah dia pernah mencipta beberapa rekod ketika berada di Malaysia seperti merangkak sejauh 1.6 kilometer paling laju di Kelab Lumba Kuda Selangor, melompat dengan sebelah kaki sejauh sebatu (1,609 meter) di Taman Burung Pulau Pinang, menimbang bola di dalam air di Aquaria KLCC dan menangkap buah anggur paling banyak menggunakan mulut di depan KLCC.
Terang pemilik kedai makanan kesihatan ini, dia bersemangat memecahkan pelbagai jenis rekod yang unik kerana keseronokan dan cabarannya.
Ia juga bukanlah untuk kepuasan diri tetapi sebahagian daripada pencarian rohaniah dirinya.
Pengalaman hidupnya yang penuh inspirasi itu turut difilemkan menerusi filem dokumentari berjudul The Record Breaker.
No comments:
Post a Comment