Tuesday 3 December 2013

'KARNIVAL JOM HEBOH' JADI TEMPAT ANAK-BERANAK PENJENAYAH BEROPERASI

Polis menahan sepasang suami isteri bersama tiga anak mereka, yang dipercayai meragut barangan kemas kanak-kanak di karnival 'Jom Heboh', di Bukit Jalil, Sabtu lepas.

Bapa, 52, ibu, 43, dua anak lelaki berusia 17 dan 16 tahun serta seorang anak perempuan, 13, ditahan polis di sebuah hotel mewah di Bukit Bintang pada 7 malam, Ahad lalu.
Kesemua mereka berasal dari Sabah.
Ketua Polis Daerah Cheras ACP Mohan Singh Tara Singh berkata modus operandi keluarga itu menjalankan kegiatan ragut dengan menyasarkan kanak-kanak yang memakai rantai leher, gelang tangan, subang dan telefon bimbit.
"Mereka menginap di hotel... pasangan itu bersama anak-anak mereka terlibat menjalankan jenayah itu," katanya.
Hasil siasatan polis, katanya, keluarga itu menjual barangan curi di kedai-kedai pajak gadai untuk mendapatkan wang tunai.
Mohan Singh berkata polis juga merampas sebilah gunting kecil yang dipercayai digunakan untuk memotong rantai leher kanak-kanak, sebuah alat penimbang dan sepasang subang, tiga utas gelang tangan, lima buah telefon bimbit, enam utas loket emas, 10 keping resit pajak gadai, 12 utas rantai emas dan wang tunai berjumlah RM4,640.
Beliau berkata si bapa mempunyai lima rekod jenayah ragut manakala si ibu ada satu kes yang sama.
Beliau berkata kesemua mereka direman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri, Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana menyamun dan Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi.
Sehubungan itu beliau menyarankan ibu bapa yang anak mereka kehilangan barangan kemas semasa pesta Jom Heboh di Bukit Jalil atau pesta lain sebelum ini agar menghubungi ASP Ong Seng Keong dari IPD Cheras di talian 019-3727888 untuk membuat pengecaman suspek dan menuntut barangan kemas. PerakNews.

No comments: