Jawatankuasa UMNO Bahagian Gopeng yang mengadakan mesyuarat khas sebentar tadi sebulat suara menolak keputusan Jawatankuasa Khas Bantahan Pemilihan UMNO 2013 berhubung arahan mengadakan semula pemilihan jawatakuasa pergerakan Wanita UMNO Gopeng, Sabtu ini.
Ketua UMNO Bahagian Gopeng, Datuk Hamzah Kassim, berkata pihaknya juga kesal dengan surat arahan bertarikh 26 November lalu yang langsung tidak menyatakan sebarang alasan kukuh mengapa pemilihan jawatankuasa sayap Wanita perlu dijalankan semula.
“Kita berasa hairan dan ajaib kerana bukti kukuh keluar mengundi dan kertas undi dikeluarkan tidak disemak sedangkan kedua-dua perkara itulah yang menjadikan bukti berlaku atau tidak sebarang penyelewengan pada pemilihan bertarikh 12 Oktober lalu,” katanya kepada pemberita di pejabat UMNO Bahagian Gopeng, malam tadi.
Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Hang Tuah Din dan Ketua Wanita Bahagian Gopeng, Juliliyana Mohd Junid.
Hamzah menegaskan lagi, timbul persoalan adakah pemilihan tempoh hari tidak menepati atau tidak cukup ahli, berlaku penyelewengan atau jawatankuasa pemantau di peringkat Parlimen sudah dihukum kerana didapati melakukan kesalahan.
“Ingin ditegaskan, keputusan menolak arahan ini adalah bukan keputusan saya sebaliknya keputusan sebulat suara Jawatankuasa UMNO Bahagian Gopeng yang mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan perkara ini dengan sebaik-baiknya,” kata Hamzah lagi.
Menurutnya lagi, pihaknya mempunyai dokumen yang membuktikan tandatangan 327 perwakilan sayap Wanita UMNO Gopeng yang layak mengundi pada pemilihan yang berlangsung pada 12 Oktober lalu.
Hamzah menjelaskan, Jawatankuasa Khas Pemilihan mengkaji sebaik-baiknya dan melihat dokumen yang diperlukan seperti senarai kehadiran perwakilan pada hari terbabit.
“Kita ada senarai lengkap dan setiap perwakilan perlu menurunkan tandatangan untuk mendapatkan kertas undi dan jumlah 327 perwakilan ini menepati apa yang diumumkan oleh pengerusi sementara mesyuarat, Robeah Hamid.
“Kita juga tahu bahawa tiada kesilapan besar tetapi mungkin berlaku kesilapan ‘human error’ dalam pemilihan terbabit disebabkan faktor keletihan dan sistem baru yang kali pertama dilaksanakan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Hamzah berkata, pihak Jawatankuasa Pemilihan Pusat perlu tampil memberi penjelasan secara terperinci berhubung kesalahan yang dilakukan pada pemilihan jawatankuasa Wanita UMNO Gopeng tempoh hari.
“Sebenarnya, apa yang dibangkitkan ini bukanlah dengan niat tidak baik sebaliknya kita amat berharap dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sebaik-baiknya.
“Jawatankuasa UMNO Bahagian Gopeng cuba mengharapkan ketelusan yakni apa yang benar, biarlah benar dan begitulah sebaliknya,” tegas beliau lagi. - PerakToday
No comments:
Post a Comment