Friday, 29 November 2013

TAHNIAH! USTAZ KAZIM ELIAS ANTARA AHLI MAJLIS TERTINGGI UMNO YANG DILANTIK..


PUTRAJAYA - Pendakwah terkenal, Ustaz Mohammad Kazim Elias adalah antara sembilan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang dilantik, demikian diumumkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor hari ini.

Lapan lagi yang dilantik dalam MT ialah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz, Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainudin, Exco Kerajaan Negeri Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsudin, Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Anggota Parlimen Titiwangsa Datuk Johari Abdul Ghani, bekas Naib Canselor UiTM Prof Tan Sri Dr Ibrahim Abu Shah, Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah (YADIM) Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohanizam Ibrahim.

Ketika mengumumkan lantikan sembilan anggota MT di pejabatnya di sini, Tengku Adnan berkata mereka melengkapkan jumlah 13 MT tambahan yang diputuskan oleh Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mengikut Fasa 9.2.8. Perlembagaan Umno.

"Pelantikan mereka adalah berdasarkan pengalaman mereka yang boleh memberi input yang baik kepada parti dan akan bergerak bersama 25 MT yang dipilih perwakilan pada pemilihan parti bulan lepas," katanya.   

Tengku Adnan berkata surat pelantikan akan diedarkan kepada mereka hari ini dan mereka dijangka mengangkat sumpah pada 4 Disember ini.

"Status mereka adalah sama dengan MT yang dipilih perwakilan. Mereka akan menghadiri mesyuarat khas Majlis Tertinggi selepas Persidangan Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri pada malam 4 Disember ini," katanya.

Pada mesyuarat pertama MT minggu lepas, Najib mengumumkan pelantikan empat pemimpin sayap parti sebagai ahli tambahan kepada 25 MT yang menang dalam pemilihan iaitu Naib Ketua Wanita Datuk Azizah Mohd Dun; Penolong Setiausaha Wanita Datuk Rosni Sohar; Naib Ketua Pemuda Khairul Azwan Harun dan Naib Ketua Puteri Zahida Zarik Khan.

Selain itu, tujuh Menteri Besar yang tidak bertanding jawatan MT pada pemilihan Umno akan dijemput menghadiri mesyuarat MT tetapi tidak dilantik untuk jawatan berkenaan. - Bernama

No comments: