Saturday, 16 November 2013

PELANCONG TAIWAN MAUT DITEMBAK, ISTERI DICULIK


KOTA KINABALU  - Sepasang pelancong suami isteri dari Taiwan menjadi mangsa kes bunuh serta culik sekumpulan penjenayah di sebuah calet atas air di Pulau Pom-Pom, Semporna awal pagi semalam.

Kejadian pukul 1 pagi itu menyebabkan Li-Min Hsu, 57, mati di tempat kejadian akibat ditembak di badan manakala isterinya, An-Wei Chang, 58, diculik oleh kumpulan itu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata, siasatan awal mendapati kumpulan penjenayah tersebut memecah masuk ke bilik calet mangsa menerusi tingkap belakang.

Menurutnya, selain kesan tembakan ditemui di pintu bilik, beberapa kelongsong peluru berbeza ditemukan di lokasi kejadian.

Kata beliau, motif pembunuhan dan penculikan ini belum dapat dipastikan kerana barangan peribadi milik mangsa masih terdapat di bilik tersebut.

"Jenayah kejam ini dipercayai dilakukan lebih daripada seorang dan melibatkan senjata berat," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu di JOHOR BAHRU, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, polis sedang giat memburu kumpulan suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

Beliau memberitahu, pihaknya juga sedang berusaha mengesan isteri mangsa yang diculik dalam kejadian itu.

Jarak antara calet di pulau tersebut dengan pulau terdekat di Filipina iaitu Pulau Mala Manuk yang terletak berhampiran Pulau Mataking adalah 16 kilometer.

Mengulas lanjut, Hamza berkata, kejadian tersebut disedari oleh seorang pengawal calet yang terdengar bunyi tembakan dari arah bilik calet di atas air.

Katanya, pengawal tersebut kemudian memaklumkan perkara itu kepada anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditempatkan kira-kira 800 meter dari kawasan kejadian.

Beliau berkata, anggota PGA kemudian segera membuat pemeriksaan dan menemui mayat seorang lelaki terbaring berlumuran darah dalam bilik tersebut.

Tambahnya, polis menghubungi pihak Kedutaan Taiwan bagi memaklumkan perkara tersebut dan mangsa yang maut dibawa ke Hospital Semporna untuk bedah siasat.

Ditanya sama ada kes tersebut melibatkan penjenayah warga asing, Hamza berkata, tiada keterangan yang diterima bagi menjuruskan mana-mana pihak termasuk pengganas berhubung kejadian itu.  -  Utusan

No comments: