Tuesday, 8 October 2013

TUN FAISAL 'MERENDAH DIRI'....

SAYA HANYA CALON 'UNDERDOG'
KUALA LUMPUR : Exco Pemuda Umno, Tun Faisal Ismail Aziz menyifatkan dirinya sebagai calon ‘underdog’ jika dibandingkan dengan nama-nama besar yang akan bertanding pada pemilihan peringkat Majlis Tertinggi, 19 Oktober ini.

“Saya hanya calon underdog dan merasakan peluang untuk menang terlalu sukar. Nama saya tidak diperkenalkan dalam sesi pengenalan calon yang dianjurkan oleh badan perhubungan Umno negeri,” katanya kepada mStar Online pada Isnin.
Tun Faisal berkata demikian bagi mengulas keputusan Jawatankuasa Pemilihan Umno yang membenarkan beliau untuk bertanding di peringkat Majlis Tertinggi pada pemilihan parti kali ini.
Beliau turut menyambut baik keputusan tersebut kerana ia secara tidak langsung menunjukkan seseorang Exco Pergerakan Pemuda Umno diberi ruang untuk bertanding di peringkat MT berdasarkan sumbangan, pengalaman dan kedudukannya dalam heiraki parti.
“Alhamdulillah. Ini juga membuktikan bahawa Jawatankuasa Pemilihan mengambil kira merit cadangan daripada Pergerakan Pemuda Umno sekali gus menunjukkan institusi pergerakan itu dihormati,” katanya.
Tun Faisal turut berharap agar namanya diperkenalkan kepada semua perwakilan supaya mereka menyedari beliau telah dibenarkan untuk bertanding semula.
“Saya berharap dalam sesi bertemu perwakilan di peringkat negeri selepas ini, nama saya akan diperkenalkan semula,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali pada Isnin mengumumkan Tun Faisal layak bertanding setelah jawatankuasa membuat beberapa pertimbangan terhadap calon berkenaan yang sebelum ini disingkirkan namanya.
“Nama beliau dicadangkan oleh Pergerakan Pemuda Umno dan sebagai calon mewakili mereka (Pemuda Umno).
“Atas alasan itu Jawatankuasa Pemilihan parti berpendapat beliau boleh dipertimbangkan untuk bertanding… beliau dicadangkan dan mewakili,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, petang Isnin. - mStar

No comments: