Pihak bank tidak sama sekali terlibat dengan penyebaran rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di Internet membabitkan pegawai bank berkenaan ditembak mati oleh seorang pengawal keselamatan di Ambank cawangan USJ Central 2, Subang Jaya pada petang Rabu.
Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Kumpulan Ambank, Syed Anuar Syed Ali, ketika mengesahkan perkara tersebut berkata pihaknya kini menyerahkan perkara tersebut kepada pihak polis untuk menyiasat siapakah dalang bertanggungjawab menyebarkan rakaman CCTV berkenaan yang turut tersebar dengan meluas di laman media sosial seperti Twitter dan Facebook.
“Apa yang boleh saya katakan pihak kami, sama sekali tidak terlibat dengan penyebaran rakaman CCTV berkenaan.
“Saya juga tidak pasti siapakah dalang yang bertanggungjawab menyebarkan rakaman berkenaan. Ini sangat menyedihkan dan kita belum membuat apa-apa keputusan untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam penyebaran rakaman CCTV berkenaan,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis.
Beliau berkata sehingga kini pihaknya tidak dapat juga memaklumkan mengenai status syarikat kawalan keselamatan terlibat sama ada mereka akan menggantung atau menghentikan perkhidmatan syarikat berkenaan.
“Biar pihak polis menyiasat apakah punca kejadian. Setakat ini saya tidak boleh mengulas lanjut kerana kes ini masih dalam siasatan.
“Mengenai syarikat keselamatan terbabit juga kita masih belum membuat sebarang keputusan,” katanya.
Beliau turut mengesahkan bahawa laporan bedah siasat mangsa masih belum dikeluarkan oleh pihak hospital sehingga kini.
Dalam insiden yang berlaku pada pukul 6.18 petang Rabu, suspek menembak mati Norazita Abu Talib dengan ‘pump gun’ sebaik sahaja mangsa membuka pintu bilik kebal bank berkenaan.
Supek kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal dan kali terakhir dilihat memakai uniform pengawal keselamatan berwarna putih bersama jaket berwarna hitam.
Difahamkan suspek juga memiliki kad pengenalan palsu dengan menggunakan nama Ardi Hamza, berasal dari Tawau, Sabah.
Insiden berkenaan turut menjadi bualan hangat di laman media sosial dengan ramai pengguna turut berkongsi gambar mangsa ditembak berserta dengan rakaman CCTV yang memaparkan situasi kejadian mangsa ditembak di kepala di Facebook dan Twitter.
Khabar angin turut mengatakan suspek telah berjaya ditahan di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) ketika cuba melarikan diri ke Sabah di Twitter pada pukul 11 pagi, bagaimanapun pihak polis mengesahkan berita berkenaan adalah palsu. SUMBER
No comments:
Post a Comment