Pengarah PRK Pas bagi Dun Sungai Limau, Datuk Ir Amiruddin Hamzah menafikan bendera hitam yang dipasang bersama bendera Pas pada hari penamaan calon semalam sebagai menandakan kehadiran penyokong Syiah dalam parti itu.
“Pada saya, itu adalah kalimah yang semua orang Islam tahu dan itu bukan menandakan bahawa ada penyokong Syiah dalam Pas,” katanya kepada Sinar Harian.
Kebiasaan Pas menggunakan warna hijau-putih sebagai bendera rasmi parti mereka, namun pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13), wujud satu fenomena baru terhadap bendera parti itu apabila lambang bulan berwarna putih dikontraskan dengan latar belakang berwarna hitam yang banyak dipasang di Kedah.
Menurut blog KedahTimes penggunaan warna hitam pada bendera Pas sebagai menandakan kehadiran penyokong Syiah dalam parti itu.
Blog kedahan69ers turut mendedahkan satu bendera hitam dengan logo Syiah banyak dipasang di Parlimen Pendang tempat Timbalan presiden Pas, Mohamad Sabu (Mat Sabu) bertanding.
“Mat Sabu cuba mendapatkan pengaruh serta undian daripada para penganut agama Syiah di Pendang. Malah cuba menampilkan Pendang sebagai pusat Syiah secara rasmi yang pertama di negara ini. Bendera-bendera hitam seperti gambar di atas boleh dilihat di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan di kawasan Pendang.
“Bagaimanapun, bendera hitam sepenuhnya dan bendera hitam yang mempunyai lambang kalimah ALLAH sepertimana yang terdapat pada bendera Iran pula, lebih banyak dikaitkan dengan Mat Sabu dan gerakan MENSYIAHKAN SELURUH KEDAH, “dakwa blog kedahan69ers.
Perkara yang sama turut didedahkan oleh blog kedahkekl yang berkata pemasangan bendera itu sebagai simbolik penguasaan kumpulan tersebut.
“Sudah dijangka, perkara ini berlaku juga. Akhirnya puak Syiah di Pendang berani menaikkan bendera Syiah. Bila golongan Syiah menjadi semakin ramai dan besar. Mereka akan tonjolkan diri dan cuba menguasai sesuatu kawasan.
“Jika sebelum ini puak Syiah hanya berdiam diri dan tidak menonjolkan diri. Namun bila mereka merasa diri mereka kuat. Panji-panji bendera syiah ini akan dipacak menandakan ‘ini kawasan syiah!’,”katanya.
Justeru itu, laman pejuangislam.com merumuskan salah satu ciri untuk mengenali penganut Syiah adalah pemakaian ‘warna hitam’ yang merupakan trademark kumpulan Syiah di Iran. AIDC
No comments:
Post a Comment