Bagan Serai : Satu keluarga di sini, gempar apabila mayat seorang keluarga mereka bergerak, manakala matanya terbuka, lima jam selepas disahkan mati.
Kejadian berlaku di Kampung Cina Kuala Gula, di sini, ketika keluarga mahu memasukkan mayat Tan Chai Gaik, 69, ke dalam keranda, jam 1.30 petang kelmarin.
Adik mendiang, Chai Soon, 55, berkata mereka terkejut kerana pembantu perubatan yang datang merawat Chai Gaik mengesahkan kakaknya meninggal dunia kerana sakit tua, kira-kira jam 8.30 pagi.
“Selepas diletakkan ke dalam keranda di rumahnya kira-kira lima jam kemudian, semua ahli keluarga termasuk anak mendiang melakukan upacara sembahyang dan meratapi pemergiannya.
“Ketika nama Chai Gaik disebut anak perempuan keduanya, tiba-tiba mata mendiang terbuka dan menggerakkan sedikit badannya.
“Kejadian itu menggemparkan semua yang ada di situ, malah ada anak mendiang menjerit kegembiraan kerana menyangka mendiang hidup kembali,” katanya di rumah mendiang di sini, semalam.
Chai Soon berkata, mereka menghubungi pembantu perubatan yang merawat mendiang dan memintanya membuat pemeriksaan semula.
Tekanan darah stabil
Katanya, pembantu perubatan itu juga terkejut apabila mendapati tekanan darah mendiang memberikan bacaan stabil, walaupun tidak lagi bernafas dan tiada denyutan nadi.
“Pembantu perubatan itu segera mengarahkan ambulans dari Klinik Kesihatan Kuala Gula menghantar mendiang ke Hospital Taiping bagi membolehkan pengesahan semula dibuat terhadap keadaan sebenar mendiang.
“Bagaimanapun, pihak hospital mengesahkan mendiang mati sejak disahkan kali pertama,” katanya.
Sementara itu, sumber Pejabat Kesihatan Daerah Kerian menafikan mendiang hidup semula selepas beberapa jam selepes disahkan mati.
Pihaknya tidak menolak kemungkinan pergerakan pada mayat disebabkan tindak balas anggota fizikal terhadap kesan perubatan atau pemakanan yang diambil sebelum warga tua itu meninggal.
“Pemeriksaan kedua mendapati tiada sebarang aktiviti pernafasan dan denyutan nadi dicatatkan, ditambah keadaan tangan mangsa yang mengeras, menyebabkan ujian gula dalam darah tidak dapat dijalankan,” katanya.
No comments:
Post a Comment