Friday 20 September 2013

UGUT POLIS DI FB : PEMILIK AKAUN FACEBOOK 'TAILONG MAN' DIBURU POLIS


MELAKA - Selepas seorang lelaki ditangkap ekoran mengeluarkan kata-kata ugutan untuk membunuh Ketua Polis Negara (KPN) di Facebook pada minggu lalu, kini seorang lagi lelaki yang menggelarkan diri sebagai Tailong Man dicari bagi membantu siasatan berhubung kenyataannya di laman sosial sama untuk melancarkan gerakan balas dendam ke atas pasukan polis. 



Pemilik akaun Facebook Tailong Man yang meletak pekerjaannya sebagai pembunuh upahan dipercayai meletakkan status mengancam untuk membunuh polis rentetan daripada kejayaan polis menembak mati dua ahli kongsi gelap Geng 36 di Cheng di sini pada Khamis lalu.

Akaun Facebook yang menjadikan imej Buddha sebagai gambar profil dibuat pada 12 September lalu dan sehingga semalam dia mempunyai 106 kawan di akaun tersebut. 


Polis negeri ini semalam mengedarkan gambar dua lelaki bagi membantu pihak berkuasa itu menjejaki pemilik akaun Facebook bergelar Tailong Man yang diburu kerana kenyataannya di laman sosial itu hendak melancarkan gerakan balas dendam ke atas pasukan polis. 

Sehubungan itu, satu pasukan khas telah ditubuhkan untuk menjejaki dua individu terbabit bagi mengetahui dalang sebenar yang mengemaskini status berbaur ancaman pada Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Raja Shahrom Raja Abdullah berkata, penelitian pihaknya mendapati, gambar dua lelaki itu digunakan sebagai pemilik akaun Tailong Man tersebut.

"Dua lelaki itu diminta tampil untuk membantu siasatan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

No comments: