Thursday, 5 September 2013

PILU : ADIK TEMUI KAKAK MATI TERGANTUNG



BAGAN SERAI - Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun ditemui mati tergantung oleh adik lelakinya dalam bilik tidur di rumahnya di Kampung Matang Pasir, Alor Pongsu kira-kira jam 4.20 petang kelmarin.

Lebih memilukan, kejadian itu berlaku selepas keluarga terbabit kehilangan anak lelaki yang meninggal dunia akibat dihempap traktor tiga bulan lalu.






Adik lelaki mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Shai, 13, berkata, ketika kejadian berlaku, dia sedang membaiki motosikal milik ayahnya di garaj rumah, manakala mangsa dan abang sulung mereka berada dalam rumah.

Menurutnya, dia mendengar bunyi radio dari dalam bilik tidur mangsa dan tanpa mengesyaki apa-apa dia meneruskan kerjanya.

“Bagaimanapun, saya hairan kakak langsung tidak keluar dari bilik sejak pagi semalam (kelmarin).

“Jadi, saya menjenguk bilik tidur kakak melalui tingkap dan terkejut melihat dia tergantung dalam keadaan melutut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, kelmarin.

Shai berkata, dia terkejut dan terus memanggil teman lelaki kakaknya yang tinggal selang beberapa rumah sebelum mendapati mangsa sudah tidak bernyawa.

“Arwah kakak baik dan bertanggungjawab terhadap adik beradik serta rapat dengan saya. Bagaimanapun sebelum kejadian kakak sering mengadu tertekan.

"Saya juga diberitahu kakak sempat menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) memohon maaf kepada rakan-rakan dan teman lelakinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan mengesahkan kejadian dan memaklumkan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Bagaimanapun, polis tidak menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah khianat ke atas mangsa dan keputusan akan diketahui selepas siasatan menyeluruh dilakukan,” katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Matang Pasir. Sinar Harian

No comments: