Thursday, 5 September 2013

KENDERAAN SPAD DI KEPUNG PEMANDU LORI GENGSTER...???



KUANTAN - Penggunaan kenderaan tanpa logo oleh anggota Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam operasi membabitkan kenderaan berat terus dipersoal pemilik dan pemandu lori.


Berikutan rasa tidak puas hati dengan tindakan anggota SPAD itu, kira-kira 100 pemandu mengadakan bantahan secara aman di hadapan sebuah stesen minyak bersama lebih 30 lori dikumpulkan di Gebeng dekat sini, semalam.

Mereka juga turut mengepung tiga kenderaan SPAD yang terlibat dalam operasi sebelum kepungan itu disuraikan dengan bantuan anggota polis.

Sementara itu, Adun Teruntum, Sim Chon Siang ketika ditemui di lokasi bantahan berkata, pemilik  dan pemandu lori tidak puas hati dengan tindakan agensi itu apabila menggunakan kenderaan tanpa logo dalam operasi mereka.

Menurutnya, pemandu lori keliru dengan tindakan itu menyebabkan mereka enggan berhenti ketika ditahan untuk pemeriksaan.

“Mereka ada alasan untuk tidak berhenti kerana bimbang kereta tersebut digunakan penjenayah untuk menyamun kenderaan berat.

“Perkara ini sudah dikemukakan kepada SPAD namun penggunaan kenderaan tanpa logo terus digunakan dalam operasi,” katanya.

Chon Siang berkata, bantahan berpunca daripada tindakan pegawai SPAD cuba menahan sebuah lori dalam satu operasi di sini.

“Lori itu enggan berhenti memaksa pegawai SPAD mengejarnya bagaimanapun pemandu tersebut kemudian mengalah selepas muncul dua kenderaan dari arah belakangnya yang tertera logo agensi itu.

“Tidak puas hati dengan tindakan itu, pemandu terbabit menghubungi rakan dan berkumpul di hadapan sebuah stesen minyak dan mengepung tiga kenderaan SPAD terlibat,” katanya.

Menurutnya, hasil campur tangan polis, kenderaan SPAD berjaya keluar manakala pemandu lori terus berkumpul di sini sehingga jam 2.30 petang.

“Susulan kejadian, kedua-dua pihak tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kuantan, petang semalam,” katanya.

Tinjauan di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam mendapati keadaan lalu lintas sesak selepas puluhan lori diletakkan di kawasan itu sementara pemilik dan pemandu membuat laporan polis. Sinar Harian

No comments: