Tuesday, 10 September 2013

KETUA BIRO MCA UGUT KELUAR PARTI

KUALA LUMPUR : Ketua Biro Profesional Muda MCA, Datuk Chua Tee Yong mengugut akan keluar parti jika Presiden parti itu, Datuk Seri Chua Soi Lek tidak bertanding jawatan presiden pada pemilihan kali ini.

Dalam sidang media di Ibu Pejabat MCA di sini hari ini, beliau menegaskan perbalahan dalam parti itu bukanlah satu perkembangan yang baik.

Oleh yang demikian, keputusan tersebut dibuat bagi menunjukkan pendirian beliau berjuang demi kepentingan parti.

"Saya dah buat keputusan saya sendiri, ke mana saya nak pergi, dan perkara ini sudah jelas. Saya boleh tidur lena, saya buat kerja saya dengan baik dan saya telah buktikan saya merupakan aset kepada parti dengan berjaya, bertahan dalam dua tsunami (PRU) yang lalu," katanya yang juga Ahli Parlimen Labis.

Pada masa yang sama, beliau berkata perbalahan yang wujud dalam parti ini akan cuba diselesaikan dengan cara yang lebih matang.

Menurut Chua, ini bagi memastikan MCA terus kekal relevan bagi menghadapi pilihan raya akan datang setelah berdepan dengan kekalahan teruk pada PRU-13 yang lalu.

Katanya, perbalahan yang berlaku ini melibatkan Presiden dan Timbalan Presiden parti bukan satu situasi yang baik buat parti, ini bukan satu perkembangan yang baik untuk parti.

“Saya mencadangkan siapa saja yang berniat untuk bertanding untuk jawatan presiden MCA, perlu ada satu debat tertutup untuk ahli MCA putuskan siapa yang paling layak untuk memimpin parti," jelasnya.

Semalam, Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Liow Tiog Lai menafikan dakwaan Soi Lek yang menuduhnya rakus kuasa dengan menuntut tarikh peletakan jawatan presiden parti itu.

Ini membuktikan pertelagahan dalaman MCA kian meruncing menjelang pemilihan parti yang dijadual berlangsung Disember ini.

No comments: