SHAH ALAM – Selepas menyuarakan hasrat untuk bertanding jawatan Ketua Wanita Umno dalam pemilihan Umno pada Oktober depan, bekas pengasas Puteri Umno, Datuk Seri Azalina Othman Said akhirnya mengalah setelah mendapat nasihat daripada ahli pergerakan wanita parti.
Beliau yang dipetik dalam portal berita hari ini, melalui sumber dalaman sayap Umno itu menyatakan Azalina akan membuat pengumuman penting untuk tidak mencabar penyandang Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil pada 20 September akan datang.
“Beliau adalah seorang yang sayangkan Umno. Beliau juga adalah seorang yang setia kepada parti dan mendengar nasihat pucuk pimpinan. Walaupun beliau seorang pejuang dan bersedia menyahut apa jua cabaran tetapi beliau adalah seorang yang menghormati nasihat yang diberikan kepadanya,” menurut sumber dalaman itu.
Difahamkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah menasihati Azalina agar menimbang semula keputusannya untuk mencabar Shahrizat.
Ini kerana ramai yang bimbang sebarang pertandingan yang sengit akan menggoncang sayap Umno itu apatah lagi Wanita Umno dianggap sebagai tulang belakang parti itu.
Azalina juga menjadi mangsa kritikan dan sasaran sesetengah pihak khususnya di kalangan wanita sendiri yang menganggap beliau tidak sesuai bertanding jawatan ketua wanita kerana belum pernah berumah tangga.
Misalnya pada Majlis Rumah Terbuka Wanita Umno Kedah baru-baru ini, Ketua Wanita Umno Negeri, Datuk Maznah Hamid dalam ucapannya menegaskan, wanita sentiasa boleh merujuk kepada Shahrizat jika mereka berhadapan dengan masalah keluarga kerana beliau sudah berumahtangga dan juga seorang ibu.
“Wanita itu adalah seorang ibu, isteri dan anak perempuan. Sesiapa sahaja yang hendak mengetuai pergerakan ini mestilah terlebih dahulu memiliki semua itu," katanya.
Dalam perkembangan yang sama, Ketua Penerangan Wanita Umno Datuk Hamidah Osman turut mencadangkan Azalina bertanding dalam jawatan Naib Ketua Wanita pada pemilihan yang akan berlangsung itu.
Ini kerana Azalina dilihat terlalu asing kepada sayap itu selain tidak pernah berada dalam pegerakan sayap parti itu, katanya.
“Saya tidak fikir dia (Azalina) faham tentang wanita dan gerak kerja kita.
“Sebab itu saya cadangkan dia bertanding jawatan naib ketua.
“Supaya beliau berada dalam organisasi dan faham bagaimana organisasi ini bergerak. Ini soal berhubung faktor kemanusiaan... maknanya dalam menggerakkan kerja parti ada bahagian kamu kena lembut, ada bahagian kamu kena tegas.
“Saya setuju secra total yang kita perlukan orang muda, tetapi orang muda yang nak datang itu mestilah faham organisasi itu.
“Dia tak boleh tiba-tiba terus nak bertanding jawatan utama. Apa akan berlaku jika nakhoda yang mengemudi kapal itu tidak tahu enjin-enjinnya,” katanya. SH
No comments:
Post a Comment