Polis Kelantan berjaya menahan seorang lelaki yang disyaki daripada Geng 21 Pandamaran, Klang yang dipercayai cuba melarikan diri ke negara jiran.
Ketua Polis Kelantan Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, suspek berumur 37 tahun itu ditahan di Pengkalan Che Kasim, Rantau Panjang, Pasir Mas pada pukul 10.15 pagi Rabu lepas.
Beliau berkata, lelaki berkenaan sempat mencuri di sebuah kedai menjual telefon bimbit di Tanah Merah sebelum cuba melarikan diri ke Golok.
"Beberapa unit telefon bimbit yang dicuri suspek masih aktif dan pihak polis telah berhubung dengan pihak Celcom untuk mengesan lokasi suspek," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek ditahan ketika sedang memarkir kereta yang dipandunya.
Jalaluddin berkata, hasil pemeriksaan di dalam kereta itu, polis merampas 14 unit telefon bimbit pelbagai jenama, enam tablet pelbagai jenama dan enam utas jam tangan pelbagai jenama.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek pernah terlibat dalam jenayah mencuri motosikal dan pecah rumah.
Suspek kini direman selama empat hari hingga Ahad ini.
Dalam kes lain, Jalaluddin berkata polis berjaya menahan seorang suspek yang melarikan wang tunai RM667,906 selepas memecahkan tiga mesin juruwang automatik (ATM) di sebuah bank di Chabang Tiga Pengkalan Chepa di sini pada 31 Ogos lalu.
"Hasil maklumat orang awam, kita menahan seorang lelaki berumur 27 tahun di Kampung Bunut Payong pada Isnin lepas. Suspek direman selama lima hari bermula Selasa," katanya.
No comments:
Post a Comment