Sunday, 4 August 2013

RAJA NAZRIN KAGUM KEHEBATAN MENDIANG CHUA BOON HUAT....


Melaka Tengah : Pemangku Raja Perak, Raja Dr Nazrin Shah berangkat melawat keluarga pemain hoki negara, Chuan Boon Huat bagi menzahirkan simpati dan takziah atas pemergian legenda sukan terbabit di rumah mendiang di Taman Semabok Perdana, pagi tadi.

 
Baginda yang juga terkejut dengan kemalangan meragut nyawa bintang kelahiran negeri ini itu, Khamis lalu turut memberi penghormatan terakhir ke atas mayat mendiang yang akan disemadikan esok. 
 Hadir sama mengiringi baginda, Presiden Persatuan Hoki Melaka, Datuk Md Yunos Husin dan Timbalan Presiden Persekutuan Hoki Malaysia, Datuk Nor Azmi Ahmad.    
Abang sulung mendiang, Alif Nur Najmi Chua, 42, berkata, Raja Dr Nazrin meminta mereka sekeluarga bersabar dan menerima ketentuan berkenaan dengan tabah.  

 Katanya, Raja Dr Nazrin juga memberitahu kekaguman baginda terhadap komitmen mendiang adiknya sepanjang beraksi untuk negara di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.    

Malah baginda memberitahu turut mengikuti perkembangan mendiang sejak ayahandanya, Sultan Azlan Shah menjadi Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) selain ketika baginda memimpin PHM pada 2004.  

 “Raja Dr Nazrin turut memaklumkan baginda juga amat meminati corak permainan dan kesungguhan mendiang setiap kali beraksi sejak mewakili negara 16 tahun lalu. 
 
 “Kami amat terharu dengan ucapan dan kunjungan Pemangku Raja Perak yang juga memberi semangat dan kekuatan kepada kami terutama ibu yang kini seolah-olah masih tidak percaya dengan pemergian anak bongsunya itu,” katanya.
   
Dalam kejadian kira-kira jam 2.25 pagi, 1 Ogos lalu, Boon Huat, 33, maut selepas kereta dipandunya merempuh sebuah lori tangki air di Kilometer 10.9 Lebuh Raya Damansara-Puchong berhampiran Stesen LRT Kelana Jaya, Selangor.    

Mangsa yang memandu berseorangan mati di tempat kejadian akibat rempuhan kuat yang menyebabkan PROTON Perdana dipandunya terperosok di belakang lori tangki berkenaan yang melakukan kerja menyiram bunga di tengah pembahagi jalan lebuh raya terbabit.  
 
Sebelum ini, kerajaan negeri Melaka menerusi Ketua Menteri, Datuk Wira Idris Haron mengiktiraf jasa Boon Huat dengan menjenamakan padang hoki atau bilik sukan Sekolah Tinggi Melaka atas nama mendiang.  

 Ia bertujuan menghargai jasa dan sumbangan mendiang yang mewakili negara sebanyak 340 caps sejak berusia 17 tahun.

No comments: