Monday 12 August 2013

ENGGAN IKUT BERAYA, SUAMI TAMPAR ISTERI HINGGA PENGSAN....


Kuala Terengganu : Seorang isteri terpaksa beraya di hospital selepas pengsan ditampar suami berikutan pertengkaran antara mereka apabila dia enggan mengikut lelaki itu pulang beraya ke Kemaman, Jumaat lalu.

Kejadian itu berlaku jam 12.30 tengah malam di rumah mereka di Besut, apabila mangsa berusia 26 tahun bertanya kepada suami di mana mereka akan beraya, sehingga berlaku pertengkaran. 


Dalam kejadian itu suami mangsa dikatakan memukul dan menampar isterinya. 


Dengar bunyi bising

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata tindakan suspek menampar mangsa menyebabkannya pengsan, dan terpaksa dihantar ke Hospital Besut untuk rawatan.

Beliau berkata, pertengkaran antara suami isteri itu disedari adik perempuan mangsa berusia 24 tahun, yang kebetulan berada di rumah berkenaan dan mendengar bunyi bising dari bilik kakaknya.

“Tidak lama kemudian adik mangsa melihat kakaknya keluar daripada bilik dalam keadaan menangis dan memberitahu dia ditampar suaminya. 


“Sejurus selepas itu, mangsa tiba-tiba pengsan dan mulutnya berbuih sebelum dikejarkan ke Hospital Besut,” katanya.

Kamaruddin berkata, doktor yang merawat mangsa kemudian mengesahkan wanita itu mengalami kecederaan di muka dan keadaannya dilaporkan stabil.

Difahamkan, suri rumah itu turut mempunyai rekod penyakit sawan.

Adik mangsa membuat laporan di Balai Polis Kampung Raja dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

No comments: