Thursday 15 August 2013

ELAK DIKENALI : SUSPEK BUNUH PENGASAS AMBANK CUKUR MISAI

Hiasan
Kuala Lumpur : Suspek utama kes pembunuhan pengasas Kumpulan Perbankan Arab Malaysian (AMBANK) Hussain Ahmad Najadi, 75, pada 29 Julai lalu dikesan cuba mengubah penampilan dengan mencukur misai dipercayai bagi mengelakkan daripada dikesan pihak berkuasa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata, maklumat itu diterima pihaknya baru-baru ini yang disalurkan orang awam.
Beliau berkata, suspek terbabit dipercayai bertindak demikian selepas gambarnya tersebar meluas di seluruh negara berikutan dikehendaki berhubung siasatan kes berkenaan.
“Polis sedang mengumpul maklumat untuk menahan suspek dan kami difahamkan suspek mengubah penampilan diri termasuk mencukur misainya. Namun, polis percaya suspek utama itu masih berada di negara ini.
“Kami memberi amaran kepada mana-mana pihak atau individu agar tidak melindungi lelaki ini yang dikenali sebagai Kong Swee Kwan berusia 44 tahun.
“Ini kerana perbuatan melindungi suspek dikehendaki polis boleh didakwa mengikut Seksyen 212 Kanun Keseksaan (KK),” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.
Suspek utama kes itu diburu polis selepas dipercayai melepaskan tembakan dari jarak dekat terhadap Hussain dan isterinya Chong Mei Kuen, 49, di tempat letak kereta tokong Cina di Lorong Ceylon di sini, 29 Julai lalu.
Hussain mati di tempat kejadian selepas terkena dua das tembakan di dada manakala isterinya cedera di pergelangan tangan kiri serta paha kanan.
Susulan kejadian itu polis menahan empat suspek termasuk dua wanita untuk membantu siasatan kes itu.
Sementara itu, isteri Hussain iaitu Mei Kuen yang sebelum ini gagal memberikan keterangan berikutan cedera ditembak, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi kira-kira jam 8.30 malam kelmarin.
Dalam perkembangan lain, Ku berkata, lapan lelaki yang direman kerana mendakwa mereka pewaris sah Yang di-Pertuan Agong akan dirujuk kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Beliau berkata, berdasarkan siasatan, kumpulan yang mendakwa mereka anggota Kumpulan Panji Hitam Dari Timur Empayar Langkasuka Nusantara itu tidak memberi ancaman kepada keselamatan negara sebaliknya lebih kepada kumpulan ajaran sesat.
“Sebaik tamat reman Sabtu ini, mereka akan dirujuk pada jabatan agama,” katanya.
- myMetro

No comments: