Wednesday 10 July 2013

PERSEMPADANAN SEMULA UNTUK GANJILKAN KAWASAN PILIHANRAYA



KUALA LUMPUR : MENJADI satu perkara yang pelik apabila keganjilan dimasukkan dalam elemen seseorang individu.Keganjilan sifatnya negatif, mungkin juga boleh dikategorikan unik kerana kewujudannya yang bersifat hanya satu selain minoriti dan kebiasaannya akan dikaitkan perkara aneh.

Banyak perkara ganjil berlaku dan setiap keganjilan pasti menjadi tumpuan masyarakat di kawasan berkenaan membawa ke daerah berdekatan dan kemudian merebak ke seluruh negara.

Persepsi rakyat negara ini lazimnya memang suka kepada keganjilan, ada yang menganggapnya keramat, membawa unsur mistik, tahyul selain ada juga yang percaya setiap kejadian yang berlaku boleh membawa tuah atau malang dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Mengambil contoh keganjilan yang pernah dilihat, didengar atau boleh dibaca di media massa dan agak popular tiga empat tahun kebelakangan ini adalah kes 36 sejadah `berdiri' di surau Sekolah Kebangsaan Tok Sangkut Pasir Mas Kelantan.

Sebenarnya bukan cerita sejadah berdiri mahupun sejarah, mitos atau apa sahaja berkenaan sejadah yang mahu dipanjangkan namun frasa berlawanan bagi ganjil di dalam konteks berlainan.

Saya bawa pembaca dan frasa ganjil ke alam matematik, dalam bidang matematik, nombor ganjil ialah nombor yang tidak boleh dibahagi dengan dua sementara nombor genap ialah nombor yang boleh dibahagi dengan dua - kira-kiranya nampak mudah sahaja.

Walau nampak mudah namun kuasa genap dan ganjil jika dibesarkan dalam konteks pemerintahan negara sebenarnya boleh mengubah struktur penguasaan wakil kerajaan dan pembangkang  di Parlimen! 

Saya kecilkan skop ganjil dan genap dalam isu pilihan raya kecil (PRK)  kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N1 Kuala Besut yang akan berlangsung 24 Julai ini.

Pilihan raya kecil Kuala Besut diadakan selepas wakil rakyat Barisan Nasional (BN) Dr. A.Rahman Mokhtar meninggal dunia pada 26 Jun lepas.

Impak seandainya BN gagal mempertahankan kerusi ini sangat besar. Di sinilah unsur matematik genap dan ganjil akan mula memainkan peranannnya.

PRK ini menjadi tumpuan kerana BN hanya mempunyai kelebihan satu kerusi saja ke atas Pakatan Rakyat di DUN Terengganu sekarang.

Jika BN kalah, pasti pilihan raya negeri terpaksa diadakan semula untuk menentukan pihak mana yang lebih layak bergelar kerajaan.

Tidak tahu pula jika ada mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan melompat parti sebelum pilihan raya negeri diadakan jika ditakdirkan ada pemilihan baru kelak.

Namun keyakinan Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh bahawa BN akan menang selesa dalam PRK dengan alasan Kuala Besut ialah kerusi selesa BN mungkin boleh dibuat penanda aras.

Idris turut menolak kemungkinan kedudukan kerusi DUN akan terikat 16-16 selepas pilihan raya kecil ini dengan alasan BN tidak pernah kalah kerusi berkenaan sejak tiga pilihan raya yang lepas.

Di mana silapnya?

Pada masa kini, antara negeri-negeri yang jumlah DUNnya genap selain Terengganu ialah Kedah (36), Pahang (42), Pulau Pinang (40), Selangor (56), Negeri Sembilan (36) dan Melaka (28).

Agensi berkaitan pilihan raya perlu responsif selepas ini. Sikap tidak peka kepada kemungkinan situasi politik negara boleh diandai seperti peribahasa lama `Sudah terantuk baru tengadah' mungkin boleh dituju kepada pihak berkenaan.

Senario politik negara dan penguatkuasaan hampir sama rata kerajaan dan pembangkang di beberapa negeri harus diambil perhatian segera.

Bukan apa, kekuatan Pakatan Rakyat (PR) hari ini tidak boleh dipandang enteng. Sedikit demi sedikit penguasaan selain dakwaan mereka lebih popular dilihat petanda perubahan yang sedang bertiup pada gerakan akar umbi.

Mungkin kajian semula aspek persempadanan semula boleh dipertimbang selain memastikan pembahagian DUN yang akan dibuat selepas ini perlu dibuat dengan jumlah ganjil sahaja.

Jumlah ganjil menjamin susulan pilihan raya negeri sekali gus pemenang bagi kerajaan negeri boleh diputus dengan mudah (tanpa memikirkan kemungkinan ADUN lompat parti).

Realitinya, tiada siapa boleh menolak takdir dan ketentuan tuhan terhadap pertemuan, jodoh,kehidupan dan kematian.

Langkah perlu difikir segera untuk mencari jalan terbaik seandainya lebih ramai ADUN yang meninggal dunia sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berbanding sebelum PRU ke-13.

Segalanya mungkin terjadi...... sumber

No comments: