Tuesday, 21 May 2013

'VOLOLIGHTS' CIPTAAN JURUTERA MALAYSIA POPULAR DI AMERIKA SYARIKAT


KUALA LUMPUR - Kejadian yang hampir meragut nyawanya di San Diego, Amerika Syarikat, telah mendorong seorang jurutera kelahiran Malaysia untuk mencipta "Vololights," iaitu satu teknologi lampu brek terbaru yang mengujakan banyak pihak di Amerika Syarikat.

Berikutan kejadian itu Faizal Ali, 34, telah mereka bentuk sistem yang membolehkan lampu belakang menyala apabila motosikal diperlahankan sama ada melalui menurunkan tekanan pendikit atau menurunkan gear tanpa perlu menekan brek.

Dalam kejadian yang melibatkannya itu, pemandu satu kereta di belakangnya tidak perasan motosikal yang ditunggang Faizal sedang membuat pusingan, yang hampir melanggarnya.

Ini memberikan Faizal untuk mereka bentuk dan mempaten teknologi "Adaptive Perceptible Deceleration Indicator (APDI)", yang berbeza dengan sistem brek sedia ada, yang hanya menyalakan lampu belakang selepas ditekan brek.

Beliau telah bersama-sama mengasaskan Vectolabs LLC bersama-sama beberapa rakan jurutera yang lain, bagi mereka bentuk dan memasarkan sistem Vololights itu.     Beliau juga melancarkan sistem itu di laman web mendapatkan sumbangan "kickstarter" pada 13 Mei, dan mendapat sambutan, yang termasuk dari Gizmag.com (satu majalah teknologi online), Cycleworld (majalah berbasikal) dan Autoevolution (satu majalah automotif).

Autoevolution, menyifatkan teknologi APDI itu sebagai "sangat hebat dan inovatif" sambil menggelarkannya "cahaya membrek yang selamat."

Bercakap kepada  Bernama, Faizal, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Vectolabs, berkata kemalangan akibat dilanggar dari belakang biasa berlaku semasa motosikal menekan brek untuk perlahan dan kerana saiznya yang kecil.

Sekali gus, APDI disifatkan oleh para jurutera direka bentuk untuk mengurangkan risiko kemalangan dilanggar dari belakang.

"Brek hari ini hanya menunjukkan pemandu sedang memperlahankan motosikal tetapi pada kadar apa kerana gangguan memandu semakin meningkat dan pada kelajuan 100 km sejam di lebuh raya, kelewatan satu saat boleh diterjemahkan kepada jarak enam buah kereta," kata Faizal, yang berkelulusan Ijazah Kejuruteraan Elektrik dari  Rensselaer Institute di Troy, New York.

Vectolabs juga merancang memasarkan produk baharu itu dan mengembangkannya di Asia, yang banyak menggunakan skuter, moped dan motosikal kecil.- Bernama

No comments: