sekadar hiasan |
“JIKA ada mana-mana pemain Liga Malaysia (Liga M) yang menerima ugutan bunuh, mereka hendaklah melaporkannya segera kepada pihak berkuasa.”
Demikian tegas Pengerusi Pemeriksaan, Pemantauan dan Ketelusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Aseh Che Mat (gambar kecil) semalam.
Katanya, langkah tersebut adalah untuk keselamatan mana-mana pemain dalam Liga M yang diancam oleh bookie bola sepak.
Aseh menegaskan demikian ekoran dakwaan beberapa pemain sebuah pasukan yang beraksi dalam Liga M di laporkan menerima ugutan bunuh daripada sindiket perjudian bola sepak semalam.
Pemain terbabit dipercayai mahu membuat laporan polis selepas dilaporkan menerima ugutan tersebut.
Sumber dalaman pasukan tersebut yang enggan mendedahkan identitinya memberitahu, keselamatan para pemain tersebut termasuk ahli keluarga mereka mula diancam apabila gagal memenuhi tuntutan atau arahan sindiket perjudian itu dalam satu perlawanan baru-baru ini.
Ketika diminta mengulas insiden tersebut, sumber berkenaan enggan memberikan sebarang komen dan menyerahkannya kepada FAM untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Mengulas lanjut, Aseh mendedahkan, FAM dengan kerjasama pihak berkuasa akan menyiasat perkara tersebut dengan lebih terperinci dalam usaha mereka membanteras gejala yang tidak bermoral itu.
“Ini merupakan satu perkara yang serius. Jika dakwaan itu benar, saya nasihatkan pemain-pemain terbabit tampil membuat laporan polis.
“Perbuatan tidak bermoral seperti gejala mengatur keputusan perlawanan adalah musuh No.1 sukan bola sepak negara.
“Jika aktiviti seperti ini berterusan, bilangan penonton yang hadir ke stadium akan merosot.
“Kita akan siasat perkara ini dengan lebih mendalam dan pada masa yang sama menjaga keselamatan pemain terbabit sebelum diancam dengan lebih teruk oleh pihak yang tidak bertanggungjawap itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, semalam.
Untuk rekod, Liga M pernah melalui detik hitam apabila menyaksikan 126 pemain dan jurulatih dipanggil untuk membantu siasatan ekoran skandal rasuah pada tahun 1994.
Akibatnya, seramai 58 pemain dikenakan pergantungan selama satu sehingga empat tahun oleh FAM.
Selain itu, 21 pemain dan jurulatih diberhentikan khidmat mereka dan beberapa pemain lagi digantung seumur hidup serta dibuang daerah, selain tidak dibenarkan menyertai kejohanan di bawah kelolaan FAM.
Tahun lalu pula, seorang ketua jurulatih dan 11 pemain skuad Piala Presiden Negeri Sembilan dilarang daripada menyertai sebarang aktiviti bola sepak tempatan antara setahun dan lima tahun kerana terlibat dalam skandal rasuah.
Ini kerana FAM mendapati berlaku unsur-unsur rasuah dan polemik mengatur perlawanan melibatkan pasukan Piala Presiden Negeri Sembilan pada saingan tahun 2011.
Ketua jurulatih skuad tersebut, Yusarman Yusof, menerima hukuman gantung seumur hidup oleh FAM.
No comments:
Post a Comment