Friday 17 May 2013

NIK NAZMI MENGAKU TIDAK BERSALAH ANJUR PERHIMPUNAN HARAM


PETALING JAYA : ADUN PKR Seri Setia penggal kedua Nik Nazmi Nik Ahmad didakwa di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) hari ini kerana gagal memberi notis 10 hari kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan pembangkang 8 Mei lalu.

Beliau bertanggungjawab sebagai penganjur yang didakwa telah melakukan kesalahan pada hari berkenaan di Stadium Kelana Jaya.

Nik Nazmi walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas tuduhan di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya Rohana Ayub dan dibebaskan dengan ikat jamin.

Kesalahan di bawah Seksyen 9(1) PAA yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 jika sabit kesalahan, dan Nik Nazmi boleh hilang kelayakan sebagai wakil rakyat jika didenda melebihi RM2,000.

Sementara itu Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dalam satu kenyataan berkata pembangkang akan meneruskan perhimpunan di Kedah, Terengganu, Melaka dan Negeri Sembilan walaupun mendapat kecaman pelbagai pihak.

Ahli Parlimen Pandan penggal pertama itu mendakwa semua perhimpunan yang dianggap sebagai simbolik bantahan rakyat  terhadap kredibiliti Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  setakat ini berlangsung dengan aman.

Naib Presiden PKR N Surendren dalam pada itu mengutuk dakwaan yang dikenakan terhadap Nik Nazmi hari ini dengan asalan ia tidak menjejaskan keselamatan awam.

"Kami mengutuk dakwaan ke atas Nik Nazmi di bawah Akta Perhimpunan Aman. Ini adalah himpunan aman.

"Ini tidak akan menghalang kami untuk terus mengadakan perhimpunan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Setakat ini pihak pembangkang belum mengemukakan sebarang bukti terhadap tuduhan yang dilemparkan kepada SPR mendakwa berlaku penipuan dalam pilihan raya umum yang berlangsung 5 Mei lalu. 

No comments: