Sibuk cerita kerajaan Malaysia fasik dan sebagainya sebab tak laksanakan hudud. Hebat mereka? Tak, jelas jahil. Kenapa?
Meletakkan syariat Islam, iaitu Al-Quran dan Al-Sunnah di tangga yang teratas telah dikupas, berkenaan ciri-ciri Ahl-Sunnah waal-Jamaah dalam mengambil sumber agama. Pemimpin yang tidak mampu melaksanakannya dimaafkan kerana Islam tidak menghukum seseorang yang tidak mampu melaksanakan sesuatu perintah larangan daripada syariat Islam.
Dalam pengecualian ini terdapat satu contoh daripada zaman Rasulullah SAW, di mana Najasyi, seorang Raja di negeri Etophia, tidak melaksanakan syariat Islam dalam kepimpinannya disebabkan penentangan daripada rakyat dan pihak istana.
Ketidakmampuan beliau diketahui oleh Rasulullah SAW. Baginda SAW tidak menghukum beliau sebagai fasiq, zalim atau kafir, sebaliknya menghukum beliau sebagai seorang hamba yang taat. Berkata Jabir RA:
Berkata Rasulullah SAW ketika mendengar khabar kematian Najasyi:
“Pada hari ini seorang lelaki yang shalih telah meninggal dunia. Maka berdirilah dan bersolatlah untuk saudara kamu: Ashama.”
Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 3877 (Kitab al-Manaqib, Bab kematian Najasyi).
Berkenaan peristiwa ini Ibn Taimiyyah berkata:
Meskipun Najasyi seorang raja Nasrani, kaumnya tidak mahu tunduk kepadanya untuk masuk Islam. Yang ikut sertanya untuk masuk Islam hanya segelintir orang. Oleh kerana itu ketika beliau meninggal dunia, tidak seorang jua yang mensolatkan (jenazah)nya. Maka Nabi SAW mensolatkannya di Madinah dan orang-orang Islam turut keluar bersama membentuk saf-saf untuk mensolatkannya (di Madinah). Apabila mereka mengkhabarkan tentang kematian beliau pada hari kematiannya, baginda SAW bersabda:
“Sesungguhnya saudara kamu yang taat daripada Habsyah (Etophia) telah meninggal dunia”.
Padahal banyak daripada syariat Islam, atau kebanyakan daripadanya, tidak satu jua yang dilaksanakan olehnya. Beliau tidak berhijrah, berjihad, melaksanakan Haji ke Baitullah, bahkan diriwayatkan beliau juga tidak mendirikan solat lima kali sehari, tidak berpuasa pada bulan Ramadhan dan tidak mengeluarkan zakat yang disyariatkan. Semua ini kerana (amalan-amalan tersebut) akan menzahirkan (status Islamnya) kepada kaumnya dan mereka akan mengingkarinya. Dan beliau tidak mungkin untuk berselisih dengan mereka. Kita mengetahui secara pasti bahawa tidak mungkin baginya untuk menerapkan hukum al-Quran di kalangan mereka (rakyatnya)
(Selain itu) banyak juga orang yang menjadi qadhi dan imam (pada zaman pemerintahan) Islam dan (pada zaman penjajahan) Tartar, yang adil dan ingin memutuskan sesuatu perkara secara adil (iaitu berdasarkan syariat Islam), akan tetapi itu tidak mungkin bagi mereka. Bahkan ada orang yang menghalangi mereka dan sesungguhnya Allah SWT tidak membebankan satu jiwa melainkan menurut kemampuannya. ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz juga dimusuhi dan dihukum kerana sebahagian perkara yang dia tegakkan secara adil. Bahkan ada yang mengatakan, dia diracun kerana pengadilan tersebut.
Najasyi dan orang-orang lain yang semisal keadaannya dengan beliau adalah orang-orang yang berbahagia di dalam syurga, meski pun mereka tidak melaksanakan syariat Islam (pada zaman kepimpinan mereka). Ini kerana memang mereka tidak mampu melaksanakannya. Mereka sekadar memutuskan sesuatu perkara mengikut apa yang mereka mampu laksanakan.
Majmu’ al-Fatawa, jld. 19, ms. 218-219.
1 comment:
Yg tak mampu harus berusaha menjadi mampu, dan pelaksanaan syariat Islam haruslah diusahakan semampu mampunya. Allah swt tidak menilai kejayaan tp menilai usaha yg telah dilakukan. Kejayaan, Allah swt sahaja yg menentukan. Meninggalkan usaha dan ikhtiar dgn beralasan tidak mampu bukan sikap Muslim yg sepatutnya.
Post a Comment