Sunday, 28 April 2013

KAPAL SELAM TIDAK BOLEH SELAM ADALAH FITNAH.....!!!



AYER TAWAR - Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) bersedia mengheret individu atau mana-mana pihak ke mahkamah sekiranya masih menjaja cerita kononnya kapal selam dibeli kerajaan tidak boleh berfungsi.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menyatakan, bahawa dakwaaan tersebut semata-mata fitnah untuk memburuk-burukkan kerajaan.


“Betul ke kapal selam itu tidak boleh belayar? Di kesempatan ini saya hendak maklumkan, terangkan dan jelaskan bahawa kenyataan itu adalah fitnah semata-mata untuk memburuk-burukkan kerajaan.

“Di sini, saya cabar dan akan bawa sesiapa yang melakukan demikian ke mahkamah untuk dipertuduhkan sekiranya masih buat fitnah itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Program Jiwa Murni TLDM bersama penduduk Teluk Ayer Tawar, di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan yang juga calon Parlimen Lumut, Datuk Seri Kong Cho Ha dan calon Pasir Panjang, Rashidi Ibrahim.

“Saya dah selam tiga kali pada ke dalaman maksimum. Bahkan Yang Dipertuan Agong dan Panglima Angkatan Tentera juga pernah menyelam bersama.

“Justeru kenyataan kapal selam itu tidak boleh belayar adalah fitnah,” tegasnya.

Pada majlis dihadiri penduduk kampung majoriti Melayu itu, TLDM melaksanakan program Jiwa Murni di Jeti Wawasan, kampung berkenaan yang mana program telah dimulakan pada 15 April lalu dan berakhir semalam.

Ia sempena Sambutan Hari Ulang Tahun TLDM ke-79 bertemakan Warga Berinovasi Menjana Transformasi dalam mencapai hasrat bagi mendekatkan warga TLDM dengan masyarakat setempat.

Selain itu ia juga selaras dengan inisiatif National Blue Ocean Strategy 8 (NBOS) di bawah program Military Community Volunteering Day (MCVD) di mana masyarakat TLDM memberi khidmat sosial melalui program tersebut.

TLDM sengaja memilih kampung Teluk Ayer Tawar kerana ia memiliki kepadatan penduduk antara 500 hingga 600 orang dan kebanyakannya bekerja sebagai nelayan serta memerlukan jeti untuk mendaratkan hasil tangkapan.

Sedia maklum jeti berbentuk T itu dibina pada tahun 2000 dan telah menjangkau usia 13 tahun. Sudah tiba masanya penduduk kampung itu memperoleh sebuah jeti yang lengkap.

Abdul Aziz berkata, projek jeti tersebut melibatkan 40 warga TLDM dan dibantu penduduk kampung. Manakala skop program pula seperti memasang bumbung dan mendirikan tiang konkrit, pembersihan kawasan sekitar termasuk kerja baik pulih.

“Projek ini tanda prihatin pemerintah. Sebuah lagi projek akan diperoleh oleh penduduk ialah jambatan ke kampung Teluk Ayer Tawar yang akan siap tidak lama lagi. Jambatan ini adalah kemudahan yang diberikan Barisan Nasional (BN) untuk penduduk di sini,” katanya.

No comments: