Sunday 28 April 2013

SURAT QARADAWI : NAKHAIE KATA PAS TIADA PEMIKIRAN POLITIK JELAS

Post Pic

SHAH ALAM : Tiada landasan perjuangan yang mantap mengakibatkan PAS sentiasa tidak sehaluan dalam memilih pemimpin nombor satu negara jika pembangkang mentadbir Putrajaya.
 
Biarpun Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang enggan mengiktiraf Ketua Pembangkang sebagai calon perdana menteri Pakatan Rakyat, namun ketetapan itu diketepikan sewenang-wenangnya oleh Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
 
Nik Aziz semalam dilapor melancarkan surat sokongan ulama tersohor Dr Yusuf Al-Qardhawi untuk diedarkan kepada rakyat seluruh negara.
 
Risalah berkenaan memetik kenyataan Dr Yusuf yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang pilihan raya umum, 5 Mei nanti.
 
Perkara itu turut disahkan oleh isterinya yang juga Presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail selain mendakwa surat berkenaan sebagai 'tulen'.
 
Mengulas mengenai perkara itu, bekas Naib Presiden PAS Datuk Nakhaie Ahmad berkata Nik Aziz dan Hadi masing-masing mempunyai pendirian sendiri tentang Anwar.
 
"Mereka keluarkan pandangan yang bercanggah bersabit (surat Yusuf Qardhawi), saya rasa mereka tidak ada kerangka pemikiran politik yang jelas walaupun mereka tidak berkelahi, tetapi mereka sering membuat kenyataan yang bercanggah," kata Nakhaie kepada Antarapos.
 
Hadi sebelum ini membidas tindakan PKR yang mahu menggunakan surat sokongan daripada ulama tersohor berkenaan dalam memastikan agendanya menjadi perdana menteri berjaya menjelangnya PRU13.
 
Beliau menegaskan pihak luar, termasuk Qardhawi tidak patut masuk campur dalam proses pilihan raya di Malaysia.
 
"Beliau (Yusuf Qardhawi) tidak mengundi di sini, beliau rakyat Qatar, yang berhak ialah pengundi-pengundi," kata Hadi.
 
Nakhaie kemudian meminta rakyat termasuk ahli PAS supaya berhati-hati dengan usaha Anwar untuk merealisasikan impiannya menjadi perdana menteri setelah beberapa kali gagal.
 
"Anwar Ibrahim sebenarnya sudah terkapai-kapai, kemungkinan hilang kerusi di Permatang Pauh atau kalau di sana dah mula nampak sekarang ini.
 
"Kerana itu dia terpaksa membuat apa saja termasuklah mengedarkan surat Yusuf Qardhawi dan lain-lain yang sebenarnya tidak tahu pun pergolakan politik di dalam negara kita ini," katanya lagi.
 
Naib Presiden PERKASA Datuk Zulkifli Noordin yang merupakan individu pertama mendedahkan kepada media mengenai rancangan PKR untuk mengedarkan risalah berkenaan dalam tempoh kempen pilihan raya mendakwa surat berkenaan sebagai palsu.

1 comment:

Anonymous said...

Kesian orang tua tu digunakan oleh PKR untuk melancarkan surat sokongan YQ yg terbukti palsu. Kenalah surat palsu dilancarkan dgn bangganya oleh Tok Guru yg selalu keluar fatwa palsu. Tapi jangan panggil dia Tok Guru palsu. Tak molek. Panggil aje Tok Guru Lawak.