PKR dan sekutu dekatnya Parti Sosialis Malaysia (PSM) masih gagal mencapai kata sepakat berhubung penggunaan lambang dalam pilihan raya umum 5 Mei nanti. Kegagalan ini menyebabkan dua parti itu bakal bertembung tiga penjuru dengan BN di tiga kerusi – parlimen Sungai Siput, Perak dan DUN Kota Damansara dan Semenyih, Selangor.
Calon-calon PSM di kerusi tersebut bertemu tokoh PKR Anwar Ibrahim petang Sabtu selama sejam di Petaling Jaya tetapi kedua-dua pihak masih dengan pendirian masing-masing. Dalam rundingan itu, penyandang Sungai Siput Dr D Jeyakumar, setiausaha agung PSM S Arutchelvan (calon Semenyih) dan pengerusinya Mohd Nasir Hashim (penyandang Kota Damansara) bertegas mahu menggunakan logo genggaman tangan kiri parti itu.
Ketiga-tiganya bertanding atas tiket PKR di kerusi tersebut pada 2008 sebelum kerajaan meluluskan pendaftaran PSM selepas pilihan raya umum lalu. PKR dijadual mengumumkan calon-calonnya di Selangor malam ini di Hulu Kelang. Penyelesaian 'agak sukar' Setiausaha agung PSM S Arutchelvan juga mengakui "agar sukar" untuk menemui penyelesaian ketika rundingan dengan Anwar semalam namun tetap berharap agar ia dapat diselesaikan.
"Kami mahu satu kompromi di mana berlaku keadaan menang-menang dan PSM dapat bertanding satu lawan satu," katanya. Arutchelvan juga berkata, PSM menawarkan untuk menggunakan lambang genggaman tangan untuk kerusi yang disandangnya, dan menggunakan logo PKR untuk kerusi yang tidak berjaya dimenangi pada 2008. "Saya harap mereka tidak mengumumkan apa-apa (berhubung kerusi yang akan ditandingi PSM) pada malam ini untuk menjadikan keadaan lebih rumit, atau rundingan akan tamat.
"PSM berjuang menentang BN sejak 10 tahun lalu untuk membolehkan parti ini didaftarkan. Anggota kami tidak akan dapat menerima sekiranya kami langsung tidak menggunakan logo sendiri di mana-mana kerusi ini dalam pilihan raya kali ini," katanya. Arutchelvan berkata, keadaan itu sama seperti tindakan membuli atau memalukan PSM.
No comments:
Post a Comment