Friday, 8 March 2013

SI KITOL ANWAR IBRAHIM BERSAMA KONSPIRASINYA......

(Tanya sama Jijah, apa fasal fenin, nanti jawab Jijah, selalu kena pusing)

Salam 2 all.

Tanya sama Najib
apa pasal goyang
nanti jawab Najib
Sabah nak hilang! 

Lirik diatas adalah rangkap lagu yang sering dinyanyikan Anwar manusia rosak akhlak dalam hampir semua ceramah umum yang dihadirinya. Lagu itu dinyanyikan bukan sahaja di Sabah, tetapi di merata tempat termasuk di Semenanjung.

Selama ini kita kurang ambil peduli nyanyian itu, kerana dinyanyikan oleh orang yang meroyan nak ke Putrajaya. Namun "wamakaruwama karallah, wallah hukhoirul maakiriin - Anwar merancang tipu-daya, ALLah juga merancang, dan rancangan ALLAH mengatasi segalanya".

Peristiwa pencerobohan dan serangan pengganas subversif anasir luar daripada Filipina baru ini sehingga mengorbankan 6 orang pegawai dan anggota PDRM membongkar segalanya!

Menurut lapuran media Filipina berdasarkan lapuran risik yang mereka terima, pimpinan pembangkang Malaysia adalah dalang kepada serangan dan rancangan jahat menjahanamkan Sabah!

Malah Presiden Filipina Benigno Aquino III mendedahkan terdapat dalang yang membiayai pencerobohan terhadap Sabah tersebut; kerana tidak mungkin Kiram III yang mengaku sebagai Sultan Sulu mampu membiayai kos rancangan jahat itu kerana beliau sendiri menerima bantuan kehidupan daripada Jabatan Kebajikan Filipina, malah kos rawatan dialysis beliau ditanggung oleh Kerajaan Filipina!

Mengapa Sabah penting untuk Anwar?

Dalam menghadapi PRU-13, Anwar menyedari bahawa umumnya umat Melayu-Islam sudah muak dan menolak politik putar belit dan cakap tak serupa bikin yang diamalkannya. Ditambah dengan krisis akhlak yang jijik dan kotor, dan pendirian Anwar berdegil mahu membenarkan kristian menggunakan kalimah ALLAH menyebabkan bukan sahaja umat Melayu-Islam, malah ahli akar umbi dan pimpinan PAS mula menolak Anwar.

Sebab itu Anwar beralih ke Sabah. Kita jangan lupa Anwar merupakan dalang utama membawa masuk UMNO ke Sabah. Dia mengenali lanskap politik Sabah dengan jelas. Anwar tahu isu-isu yang dekat dihati rakyat Sabah; dia tahu sensitiviti isu kalimah ALLAH kepada pimpinan dan penganut kristian di Sabah, dia tahu seriusnya isu pendatang Filipina di bumi Sabah!

Sebab itu semasa konspirasi untuk menjatuhkan Kerajaan BN melalui kaedah pintu belakang pada 16 Sept 2008, antara tumpuan Anwar adalah kepada wakil rakyat Sabah! Beberapa pimpinan UMNO Sabah mendedahkan bagaimana Anwar cuba mempengaruhi mereka. Ini termasuk Datuk Seri Anifah Aman (Kimanis), Datuk Bung Mukhtar (Kinabatangan) dan lain-lain.

Malahan dua wakil rakyat BN daripada Parti SAPP daripada Tawau (Dr. Chua) dan Sepanggar (Dr. Eric) telah memilih keluar daripada BN dan menjadi MP Bebas yang pro-pembangkang. Mutakhir, dua Ahli Parlimen BN iaitu Lajim Ukin (Beaufort) dan Wlifred Burumbing (Tuaran) memilih keluar daripada BN dan memilih menjadi MP pro-pembangkang.

Selain daripada penganut kristian terutama dikalangan beberapa kumpulan etnik Sabah yang boleh menentukan corak politik Sabah, isu pendatang asing khususnya daripada Filipina sangat mempengaruhi dan boleh mempengaruhi politik Sabah. Pembongkaran dalam Suruhanjaya Siasatan DiRaja mengenai peranan beberapa tokoh politik dalam pengeluaran kad pengenalan palsu telah menggemparkan negara.

Tun Mahathir mendakwa Anwar antara dalang yang terlibat!

Jika Anwar berjaya mempengaruhi etnik penganut kristian dan kaum Sulu daripada Filipina untuk menyokong pembangkang didalam PRU-13, ianya akan memberi kesan serius kepada BN yang selama ini melihat Sabah sebagai "deposit-tetap" nya dalam mana-mana pilihanraya.

Sebab itu teman tidak hairan Anwar memainkan isu kalimah ALLAH dan isu pendatang asing Filipina. Ini semua adalah semata-mata untuk meraih undi demi memenuhi nafsunya ke Putrajaya. Anwar langsung tidak memikirkan kesan kepada rakyat atau negara ini dengan mainan politik jijik dan kotor ini. Yang penting ialah mahkota Putrajaya!

Berbalik kita kepada pendedahan media Filipina mengenai peranan pimpinan pembangkang Malaysia sebagai dalang pencerobohan dan serangan anasir subversif asing daripada Filipina, sudah pasti jika tuntutan Kiram III dibenarkan untuk mendapatkan semula Sabah untuk mengembalikan Kesultanan Sulu akan menyebabkan Sabah "hilang" daripada peta Malaysia!

Jelas tuntutan ini tidak menasabah. Rakyat Sabah sendiri melalui referendum Suruhanjaya Cobbolt telah memilih untuk menyertai Persekutuan Malaysia. Tidak ada paksaan, tidak ada peperangan, tidak ada rampasan. Ianya pilihan rakyat Sabah sendiri untuk menyertai Persekutuan Malaysia.

Kalau tuntutan Kiram III dibenarkan, bermakna Selatan Thai wajib diserahkan semula kepada Kerajaan Malaysia, Singapura wajib dipulangkan kepada Kerajaan Johor-Riau, Pulau Pinang wajib diserahkan kembali kepada Kerajaan Kedah; malah Israel wajib diserahkan semula kepada Kerajaan Palestin!

Persoalannya ialah, apa atau siapa dalang yang menyebabkan atau mendorong Kiram III memilih menceroboh dan menyerang Sabah? Apa tujuan dan matlamat dalang-dalang ini?

Teman tertarik dengan penglibatan Tianchua dan Sivarasa dalam isu Sabah ini. Sekarang sudah terbongkar kedua-dua orang kanan Anwar ini telah pergi ke Filipina. Ini diakui sendiri oleh Anwar (yang mendakwa kedua-dua Naib Presiden PKR ini pergi ke Manila untuk tujuan lain kononnya). Apa tujuan mereka? Siapa yang mereka temui?

Malah kini sudah terbongkar Anwar pernah beberapa kali bertemu dengan Nur Misuari, pemimpin Moro Nationalist Liberation Front (MNLF). Dan kini terbukti Nur Misuari adalah penyokong tegar kepada Kiram III. Dan kita tahu dalam memainkan peranan mendamaikan Bangsamoro dengan Kerajaan Filipina, Kerajaan Malaysia menggunakan networking Moro Islamic Liberation Front (MILF) dan bukan MNLF yang diketuai oleh Nur Misuari!

Tian Chua dan Sivarasa? Apa penglibatan mereka dalam isu pencerobohan, serangan dan pembunuhan kejam anggota keselamatan Malaysia di Sabah? Teman mendesak Kerajaan menyiasat dengan terperinci kegiatan kedua pembangkang ini. Adaklah mereka terlibat?

Mungkin ada yang sudah lupa, inilah dua karektor antara mereka yang yang terlibat secara langsung dalam isu pemisahan Timor Timur daripada Indonesia sekitar tahun 1990an.

Pada 09 Nov 1996, kedua-dua karektor ini adalah antara mereka yang menggunakan platform pertubuhan yang tidak berdaftar Suaram menganjurkan sidang Asia Pacific Conference on East Timur 2 (dikenali dengan singkatan Sidang APCET II). Sidang ini dianjurkan di Hotel Asia di Chow Kit, Kuala Lumpur. Ianya adalah susulan daripada Sidang APCET I yang diadakan di Manila pada bulan Mei 1994.

APCET adalah forum yang digunakan untuk membawa isu pembebasan Wilayah Timor Timur daripada Indonesia. Dan gerakan ini bermula dengan pelancaran serangan bersenjata oleh pemimpin etnik Timor Timur bernama Gusmao. Serangan ini berjaya ditumpaskan oleh ABRI dan Kerajaan Indonesia. Gusmao dihadapkan ke Mahkamah Indonesia dan dihukum penjara 20 tahun.

Insiden ini dijadikan modal untuk membawa isu kemerdekaan Timor Timur. Dalang-dalang gerakan ini menggunakan tekanan antarabangsa. Antaranya mereka berjaya mempengaruhi Nelson Mandela, dan Ramos Horta untuk bersama menyokong gerakan ini. Hinggakan Gusmao diberikan anugerah Nobel untuk kononnya menghargai perjuangannya.

Kerajaan Indonesia sangat tidak berpuashati dengan tindakan Suaram dan beberapa NGO lain mengadakan Sidang APCET II di Kuala Lumpur. Indonesia merasakan sebagai negara saudara kembar yang serumpun, Malaysia tidak wajar membenarkan isu kedaulatan Indonesia dan wilayahnya dibincangkan di Kuala Lumpur.

Namun Kerajaan Malaysia yang mengamalkan sikap terbuka dan memberi kebebasan bersuara kepada rakyatnya, dan tidak mengenakan halangan untuk Sidang APCET II diadakan.di Kuala Lumpur. Namun diperingkat rakyat, jelas penentangan terhadap campurtangan asing dalam hal kedaulatan Indonesia membangkitkan rasa marah rakyat Malaysia.

Maka rakyat Malaysia, dipelopori oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia telah menggerakkan massa dengan menubuhkan Barisan Bertindak Rakyat Malaysia yang diketuai oleh Setiausaha Kerja Pemuda UMNO masa itu Saifuddin Nasution Ismail.

BBRM telah mengadakan protes besar-besaran pada 09 Nov 1996 dihadapan Hotel Asia diwaktu Sidang APCET II sedang berjalan. Apabila penganjur dan hadirin sidang itu enggan bersurai, Saifuddin Nasution Ismail dan gerombolan BBRM telah merempuh masuk kedalam bilik sidang dan cuba menghentikan sidang tersebut. Habis kerusi meja terbalik, malah ada antara mereka berdiri diatas meja dan melaung-laungkan bantahan.

Sidang APCET II akhirnya terpaksa bersurai. Pihak polis telah membuat beberapa tangkapan, termasuk ke atas Saifuddin Nasution Ismail. Mereka dihadapkan ke Mahkamah dan dikenakan hukuman.

Hari ini Saifuddin Nasution Ismail adalah Setiausaha Agong PKR merangkap Ahli Parlimen Macang! Tianchua dan Sivarasa pula adalah Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Batu & Subang bagi PKR.

Betapa ironisnya dunia politik ini. Dahulu bermusuhan sehingga bersepak terajang, hari ini bercium sekatil; sebantal!

Akhir kalam, wilayah Timor Timur diberi kemerdekaan oleh Kerajaan Indonesia pada 20 Mei 2002, setelah rakan baik Anwar Ibrahim iaitu Pak Gusdur yang buta menjadi Presiden Indonesia!

Indonesia hilang sebuah wilayah!

Tianchua dan Sivarasa adalah antara karektor yang terlibat secara langsung dalam APCET. Dan Pak Gusdur, rakan baik Anwar akhirnya memberikan kemerdekaan kepada wilayah Timor Timur dengan nama baru Timor Leste. Gusmao akhirnya menjadi Presiden pertamanya, dan Timur Leste berubah menjadi sebuah negara kristian dengan bantuan ketenteraan daripada Australia!

Apakah lirik lagu "Sabah kan hilang" yang sentiasa didendangkan oleh Anwar Ibrahim dalam siri-siri ceramahnya dimerata tempat dinegara ini sebagai satu tanda dan isyarat bahawa ada satu konspirasi jahat dan halus untuk menyebabkan Malaysia kehilangan Wilayah Sabah, sebagaimana Indonesia kehilangan Wilayah Timor Timur?

Persoalannya, adakah kita sedang berhadapan dengan satu "Konspirasi Si-Kitol II", sebagaimana yang berlaku dalam sejarah "Konspirasi Si-Kitol I" yang menyebabkan kita hilang Kerajaan Melaka dahulu?

Kerajaan Malaysia tidak sewajarnya memandang ringan perkara ini. Sebab itu suatu Suruhanjaya DiRaja wajib ditubuhkan untuk menyiasat ke akar umbi dalang sebenar pencerobohan, serangan dan pembunuhan kejam yang dilakukan oleh pengikut Kiram III yang mengaku sebagai Sultan Sulu.

Kiat bukan berdepan dengan sebuah angkatan tentera. Kita sedang berdepan dengan penjenayah yang menceroboh, menyerang dan membunuh anggota keselamatan kita. Ini soal jenayah. Ini isu jenayah. Ianya perlu ditangani sebagaimana kita menangani penjenayah lain.

Kerajaan Malaysia pimpinan Dato' Sri Najib telah mengambil pendirian yang betul dan tegas. Penggunaan pasukan keselamatan PDRM dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia dibawah "Blue-Ocean Strategy" telah berjaya membawa hasil yang dirancangkan. Penjenayah berjaya kita hapuskan, keamanan dan ketenteraman awam berjaya dipulihkan.

Sekarang adalah masa untuk Kerajaan mengambil langkah selanjutnya; mengembalikan maruah dan kedaulatan negara dengan menyiasat secara terperinci melalui Suruhanjaya DiRaja siapa dalang disebalik insiden ini! Ini adalah kegiatan pengkhianatan dan penderhakaan yang tidak boleh diampunkan!

Be Fair, but Be Firm!

Yakinlah bahawa rakyat Malaysia akan bersama dengan Kerajaan Malaysia dibawah pimpinan Dato' Sri Najib dalam berhadapan dengan pencabulan, pengkhianatan dan pernderhakaan ini!

Yang baik daripada ALLAH, yang tidak adalah kelemahan teman sendiri. Semoga ALLAH memelihara keamana dan kedaulatan Malaysia insyallah. Ameen!

Adios amigos, grasias senor.

Zulkifli Bin Noordin
Jumaat
25 Rabi'ul Akhir 1434
09 Mac 2013


No comments: