Sunday 17 February 2013

PRU 13 : JENTERA BN LUMUT SIAP SEDIA...!!!


Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Parlimen Lumut sudah bersedia di tahap maksima dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) yang diramal berlangsung tidak lama lagi, kata Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Dalam perhimpunan jentera BN parlimen tersebut, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut turut memuji semangat yang ditonjolkan ahli jentera, sekaligus memberi petanda positif kepada BN di peringkat Parlimen Lumut atau negeri.
“Saya lihat semangat yang ditunjukkan oleh ahli-ahli  parti oleh BN begitu kuat sekali termasuklah daripada golongan anak muda di mana kita lihat tadi begitu ramai anak-anak muda bersama-sama dalam jentera parti bagi menghadapi PRU-13.
“Saya dan Ahli Parlimen Lumut, Datuk Seri Datuk Kong Cho Ha begitu gembira dengan kehadiran pada petang ini kerana ia satu indikasi penting kepada jentera BN Lumut kerana mereka inilah yang akan turun ke bawah bagi memastikan semua jentera parti dapat digerakkan dan berfungsi semasa tempoh berkempen,” kata Zambry.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas Perhimpunan Jentera BN Parlimen Lumut di Marina Island, Teluk Muroh, dekat Lumut sebentar tadi.
Ketika diminta mengulas pembangkang yang sering memperkecilkan sokongan masyarakat kepada BN, Menteri Besar menyifatkan tindakan itu sebagai perang saraf yang sengaja dilancarkan oleh pihak terbabit.

“Apa sahaja yang kita lakukan pasti mereka akan kata sesuatu sebagai contoh sambutan Tahun Baru Cina peringkat negeri di Gopeng semalam juga dijadikan isu apabila mereka mengatakan kehadiran 10,000 orang di majlis itu kerana dihadiri oleh artis tempatan,” ujar beliau.
Walau bagaimanapun bagi Zambry, kritikan itu tidak menjadi kudis buat BN kerana dalam bahang menghadapi PRU-13, tahap persiapan dan semangat jentera lebih penting untuk difokuskan berbanding perkara lain.
Sementara itu, Cho Ha ketika ditemui, berkata sambutan ahli BN pada perhimpunan jentera kali ini di luar jangkaan awal.
“Kehadiran ini amat mengalakkan hari ini dan meningkatkan keyakinan kita untuk menghadapi PRU akan datang…jadi boleh nampak semua jentera bersemangat tinggi dan ini salah satu petunjuk yang amat menyakinkan kita semua,” kata beliau lagi.
Difahamkan, kedatangan mereka yang hadir pada perhimpunan itu juga secara sukarela tanpa menerima paksaan daripada mana-mana pihak.
Mengulas mengenai persiapan jentera MCA Perak, Cho Ha yang juga Setiausaha Agung MCA memberitahu di peringkat cawangan, MCA telah menubuhkan bilik gerakan sejak setahun lalu sebagai persiapan awal menghadapi pilihan raya.

No comments: