Monday, 7 January 2013

APAKAH AGENDA TERANCANG DI SEBALIK TUNTUTAN PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH....???


Sekali lagi isu penggunaan kalimah Allah diperkatakan. Ini bukan kali pertama timbul. Perbincangan tentang isu kalimah Allah ini sebenarnya satu perbincangan yang ilmiah dan tidak sepatutnya dipolitikkan. Permulaan kepada perbincangan ini adalah apabila wujudnya tafsiran firman Allah SWT di dalam Surah az-Zumar, ayat 38 maksudnya, “Dan sungguh jika kamu bertanya kepada mereka: Siapakah yang menciptakan langit dan bumi? nescaya mereka menjawab: Allah.”
Yang menjawab demikian adalah orang kafir jahiliyyah Makkah. Mereka ada Latta, Uzza, dan berhala-berhala di sekeliling Ka’bah yang mereka sembah. Tetapi mereka menggunakan nama Allah dan penggunaan kalimah Allah di sisi mereka disahkan oleh firman Allah SWT di dalam Al-Quran.

Para ulama’ di Timur Tengah yang berbangsa Arab secara khususnya berpandangan bahawa penggunaan kalimah Allah ini telah menjadi satu budaya dan adat. Masyarakat di sana walaupun ada yang bukan Islam, Kristian, ada yang tidak berpegang dengan mana-mana agama, qadianiyah
dan sebagainya, mereka tetap dengan ucapan seperti Masya-Allah, insyaAllah, wallaah, wabillah, watallaah.
Ini kerana perkataan wallahi sudah menjadi pertuturan kebiasaan mereka, bukan wallahi dengan niatqasam (bersumpah). Itu apa yang berlaku di negara Arab, sebab itu digunakan kalimah Allah di dalam kitab mereka yang diterjemahkan ke dalam bahasa Arab.
Sekarang ini kita bercakap dalam konteks Malaysia. Berapa kali orang-orang Kristian di dalam negara kita ini menjadikan penggunaan kalimah Allah di dalam pertuturan seharian mereka atau menjadikan ia budaya di dalam percakapan? Berapa kali orang seperti Lim Guan Eng contohnya tersadung ketika tersepak batu lalu menyebut Allahu Akbar? Berapa kali apabila dia terkejut lalu menyebut nama Allah?
Di Sabah dan Sarawak memang penggunaan kalimah Allah sudah menjadi kebiasaan sebab di gereja mereka menggunakan kitab-kitab terjemahan
Indonesia. Indonesia menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Indonesia dan menggantikan kalimah God kepada kalimah Allah. Jadi penggunaan
kalimah Allah itu sudah menjadi biasa bagi mereka, dan implikasinya boleh dilihat di Sabah dan Sarawak apabila kitab ini diguna pakai.
Harus diingat berapa peratusan umat Islam di Malaysia? Kita bukan duduk di zaman mula-mula merdeka di mana peratusan umat Islam adalah 80%. Sekarang ini umat Islam dalam negara kita cuma 61%, dan Alhamdulillah masih majoriti. Menyusul selepas itu adalah agama Buddha, hampir 20%. Susulannya Kristian, 9.2%, seterusnya Hindu dan lain-lain.
Kristian hanya 9.2% dan Lim Guan Eng bercakap seolah-olah mewakili majoriti penganut agama Kristian dan majoriti rakyat umum dalam negara
ini. Apakah beliau lupa, gereja yang terbesar di Asia yang sedang dalam proses binaan di Selangor pada hari ini diberikan kepada mereka. Bahkan salah seorang daripada orang  politik dalam negara ini merupakan orang besar gereja Katolik di Asia.
Yang amat dibimbangi ialah disebalik isu ini  ada agenda Kristianisasi dan pluralisme. Kita harus ingat apa tuntutan IFC yang dikepalai oleh Ambiga. Mereka mahui supaya perlembagaan yang diletakkan Islam sebagai agama persekutuan itu dirungkaikan, dan diberikan kesamarataan kepada semua agama. Ini semua adalah agenda mereka yang tersusun dan terancang.
NGO termasuk Bar Council adalah gerakan mereka; terdiri daripada para peguam bahkan terdiri dari kalangan orang Islam sendiri. Pluralisme membawa kepada semua agama itu sama, dan kita tidak berhak lagi untuk mengatakan Islam agama yang lebih baik berbanding agama lain.
Isu kalimah Allah di dalam konteks negara kita adalah berbeza dengan konteks negara lain. Cuba bayangkan selama ini melaungkan Allahu Akbar
dengan tauhid tetapi gereja juga melaungkan Allah, Allah, Allah dengan trinity.
Kita mungkin berhujah tanpa melihat bagaimana kemerdekaan itu diperoleh. Kita tidak melihat bagaimana proses peralihan perubahan kehidupan dalam negara kita. Dulu pada tahun 60-an, 70-an, di mana hendak cari orang pakai tudung labuh? Ibu dan bapa kita ada yang belajar di Universiti Al-Azhar. Ada gambar-gambar ustazah-ustazah yang popular pada hari ini, dulu mereka tidak memakai tudung pun! Ustaz-ustaz yang popular dan senior pada hari ini dulu hanya memakai seluar pendek belajar di Timur Tengah. Sekarang ini telah berlaku proses perubahan kearah kebaikan yang pesat yang wajar diakui dan diiktiraf. Cuma masih ada kelemahan. Kita tidak katakan telah sempurna tetapi semuanya perlu dipertingkatkan dan dikemaskini.
Bayangkan kalimah Allah nanti diletakkan di depan gereja. Apa yang boleh kita katakan pada masa itu? Perkara ini tentu akan menyinggung sensitivity umat Islam. Kalau dulu musuh Islam menggunakan Islamofobia; jenama yang barat gunakan dan tempelkan kepada umat Islam. Kita katakan sikap yang dibuat oleh Lim Guan Eng pada hari ini sebenarnya mencetuskan Kristianofobia iaitu apabila mendengar agama Kristian orang merasa fobia ataupun benci, orang merasa takut dengan gerakan mereka.
Namun kita tetap menjaga hak-hak mereka yang telah Allah berikan. Islam tidak membenarkan kita membakar gereja mereka, Islam tidak membenarkan kita membunuh mereka, mencerca tempat ibadah mereka, atau mengambil hak mereka. Islam melarang ini semua. Bahkan Islam
memberikan hurriyyatul I’tiqad (kebebasan beragama) kepada orang bukan Islam.
Jadi kita perlu melihat isu ini sebagai isu yang mempunyai agenda terancang. Kalau ditemui di tepi jalan risalah-risalah yang tertulis kalimah Allah, dan kemudian ditulis “Allah Maha Pengasih”. Berapa ramai anak-anak kita yang mampu untuk menganalisa bahawasanya risalah ini datang daripada gereja?
Islam mengajar prinsip dan pendirian saddun lidz-dzarii’ah yakni menutup ruang-ruang yang boleh membawa kepada kemudharatan dan kemungkaran yang lebih besar. Maka kita perlu sekat hal yang seperti ini.
Kerajaan perlu bertegas 
Dalam keadaan sekarang, yang membimbangkan kita adalah sikap sebahagian orang yang ada kepentingan politik yang turut mempertahankan kenyataan ini. mereka mengatakan tidak mengapa, ulama Timur Tengah mengatakan tidak ada masalah. Mana boleh begini, sedangkan kita mengeluarkan fatwa dan mengatakan bahawa kita perlu meraikan fiqhul waaqi’.
Maka waqi’ (realiti keadaan) dalam negara kita ini perlu diraikan; bagaimana kefahaman masyarakat kita tentang agama, kita masih lagi jauh terkebelakang dan kita sedang bina sedikit demi sedikit. Jangan kita mengharapkan semuanya mantap dengan serta merta. Pemimpin yang naik turut mempunyai kelemahan, ada yang faham agama dan ada yang tidak faham agama. Ada yang faham agama tetapi tidak tahu buat kerja. Ada yang tidak faham agama tetapi pandai buat kerja. Masing-masing ada kelemahan dan masing-masing ada kelebihan. Sebab itu kita berkehendak kepada perpaduan dan kesatuan sesama kaum muslimin, saling lengkap melengkapi antara satu sama lain.
Masalah timbul apabila seseorang itu mempunyai kepentingan, dia melupakan segala-galanya demi untuk menjaga kepentingannya. Sehingga isu kalimah Allah ini pun menjadi satu isu yang berkepentingan. Sebab itu cadangan yang baik agar kerajaan lebih tegas, cuma masalahnya adalah kita berhadapan dengan pandangan sebahagian daripada kaum muslimin sendiri yang mengatakan agama lain boleh menggunakannya. Saya hairan orang yang membenarkan isu ini, anak-anak mereka tidak pula dihantar ke sekolah Missionary Kristian seperti Methodist dan sebagainya. Anak-anak mereka dihantar ke sekolah agama juga. Anak sendiri hendak dihantar ke tempat bagus, tetapi negara sendiri tidak mahu diselamatkan daripada kekacauan minda-minda dan perkara-perkara yang seperti ini.
Oleh itu kita mengharapnakan kerajaan bertindak lebih tegas, dalam masa yang sama kita juga ingin agar orang Melayu dan Islam yang menjadi kuat. Kekuatan tidak dpat diperoleh melainkan dengan perpaduan. Maka hulurkanlah tangan, bersatu, berpadu dan bersama dengan kaum Muslimin. Itu yang lebih utama daripada mencari helah dan jalan untuk bersatu dan berpadu dengan orang bukan Islam, lebih-lebih lagi jelas memusuhi Islam. Bukan tidak boleh bekerjasama dengan bukan Islam, tetapi keutamaan, kecenderungan dan ruhnya mestilah bersatu dengan kaum Muslimin. Seperti mana yang digambarkan di dalam Al-Quran tentang ciri-ciri pengikut Muhammad, “Bertegas terhadap orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka.” (surah Al-Fath: 29)
Oleh : Ustaz Fathul Bari Mat Jahya - CEO Ilmuan Malaysia (iLMU)
Siaran akhbar, Sabtu 05/01/2013

No comments: