Monday 3 December 2012

TARIK DIRI KES BUNUH SOSILAWATI.....


Perbicaraan kes bunuh Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain di Mahkamah Tinggi di sini dikejutkan dengan tindakan peguam Ravi Nekoo menarik diri daripada mewakili tertuduh keempat, R.Kathavarayan.

Ravi memaklumkan kepada mahkamah beliau mengambil keputusan menarik diri atas alasan keterangan Kathavarayan di mahkamah berbeza daripada arahan yang diberikan tertuduh keempat itu kepada beliau sebelum ini.


Kathavarayan diperintah membela diri bersama N.Pathmanabhan, 43, T.Thilaiyalagan, 21, dan R.Matan, 22, atas pertuduhan membunuh Sosilawati, 47, pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Ladang Gadong di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010 mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, dalam pemeriksaan utama oleh Ravi, Kathavarayan berkata Pathmanabhan datang ke Ladang Gadong bersama rakannya kira-kira pukul 7 petang pada 30 Ogos 2010.

Ini bercanggah dengan keterangan Thilaiyalagan dan Matan bahawa Pathmanabhan tidak datang ke ladang pada tarikh itu.

Pathmanabhan juga dalam keterangannya sebelum ini memberitahu mahkamah dia tidak berada di ladang antara 8.30 malam hingga 9.45 malam pada 30 Ogos 2010, iaitu tarikh dan masa kejadian bunuh itu didakwa berlaku.

Dalam keterangannya, Kathavarayan berkata Pathmanabhan dan rakannya dilihat meninggalkan kawasan ladang kira-kira pukul 8 malam hari yang sama, iaitu pada 30 Ogos 2010.

Ketika disoal Ravi sama ada Kathavarayan mengenali rakan Pathmanabhan, tertuduh keempat berkata dia mengenali dua atau tiga daripada mereka kerana pernah berjumpa sebelum ini.



No comments: