Friday, 21 December 2012

AL-QASSAM DAN TEROWONG TIKUS RAHSIA....

Laluan terowong tikus

Gambarajah laluan terowong tikus....

GAZA- Di sebalik aktiviti harian di daratan Gaza Palestin, terdapat ribuan terowong kecil yang berselirat di bawah tanah yang menghubungkan antara satu tempat ke tempat yang lain.

Antara tujuan terowong itu dibina sebagai strategi khususnya kepada pejuang  Pelestin yang dikenali briged al-Qassam berdepan dengan tentera Israel.

Melalui satu misi baru-baru ini, penulis dibawa ke beberapa lokasi strategik pembinaan terowong terbabit tersebut di tengah Gaza.


Forklift digunakan sebagai alat pengangkutan

Forklift digunakan sebagai pengangkutan untuk melalui terowong tikus...

Bina terowong dengan cangkul
 
Menurut seorang pejuang al- Qassam yang dikenali sebagai Osman, pembinaan terowong itu  tidak menggunakan  alatan yang canggih, sebaliknya hanya menggunakan cangkul dan peralatan murah.
Menurutnya, kedalaman terowong tersebut bergantung kepada lokasi dan ia menghubungkan satu tempat ke tempat yang  lain yang memudahkan pihaknya mengatur strategi  sekiranya berlaku pencerobohan tentera Israel.
“Pernah satu ketika, tentera  Israel memasuki satu kawasan di Gaza, mereka masuk ke Gaza dengan harapan kami akan bertahan dari arah hadapan, mereka tidak sedar kami membuat kepungan dan serangan dari arah belakang dengan menggunakan terowong ini, hasilnya kami berjaya membunuh tujuh orang tentera Israel.

“Ada sesetengah terowong ini menembusi rumah kediaman penduduk kampung dan  menyebabkan tentera Israel sukar mengesannya,” katanya.

Osman berkata, melalui terowong juga mereka membunuh tentera Israel dengan membuat laluan bawah  tanah  ke pusat penempatan tentera atau lokasi sekatan tentera Zionis dan memasang bom sehingga berjaya memusnahkan lokasi strategik.  

Penulis (tengah), ditemani dua briged al- Qassam semasa masuk ke terowong tikus.
Penulis bersama tentera Al-Qassam sebelum di bawa masuk ke terowong tikus...

Dalam pada itu ketika tinjauan penulis di dua terowong di daerah Khal Yonis, mendapati kedalamannya terowong terbabit mencecah 30 hingga 40 meter. Jika di negara ini kedalaman itu sudah cukup untuk membina sebuah telaga.

Sementara itu, keluasan untuk turun ke terowong hanya  memuatkan seorang individu dan pejuang  menggunakan tali  untuk sampai ke dasarnya.

Dalam pada itu Osman berkata, mereka menyedari risiko untuk membina terowong sangat tinggi kerana  tidak menggunakan peralatan canggih, namun apa yang penting hasilnya boleh menyelamatkan tanah air.

“Semasa pembinaannya, beberapa pejuang kami meninggal dunia kerana berlaku kejadian tanah runtuh, tetapi kes itu terpencil kerana kami sudah berjaya membina ribuan rangkaian, ”katanya.

Bagaimanapun, Osman mengakui ,tentera Israel menyedari pembinaan terowong taktikal ini, tetapi mereka tidak dapat maklumat yang membolehkan mereka memusnahkan pembinaan terbabit.

Difahamkan sekiranya tentera Israel menjumpai terowong ini, mereka akan menggunakan haiwan seperti ular dan tikus yang diletakkan sistem telekomunikasi bagi mengesan jarak dan keupayaan terowong ini berfungsi.  

Tentera al-Qassam menjadikan terowong sebagai taktikal ketika berdepan zionis.
Tentera al-Qassam menjadikan terowong sebagai taktikal ketika berdepan zionis.

Terowong tikus di sempadan
 
Selain daripada terowong yang dibina di tengah Gaza, penduduk Palestin khususnya di sempadan Mesir-Palestin turut membina terowong bagi tujuan penyeludupan senjata, makanan dan haiwan.
Tidak salah, untuk menamakan ia sebagai terowong harapan kerana ia menjadi nadi yang besar kepada penduduk Palestin khususnya semasa  serangan berdarah 22 hari rejim Zionis pada Disember 2008,  Januari 2009 dan yang terbaru bulan lalu.

Kewujudan terowong ini berpunca dari tindakan Israel menguatkuasakan sekatan serta melarang pelbagai barangan, khususnya bahan binaan seperti simen dan besi daripada dibawa masuk ke Gaza.

Pelaksanaan dasar sekatan dibuat dengan alasan bahan seperti besi dan simen boleh digunakan pejuang Hamas untuk membuat senjata.

Penulis turut diberi peluang untuk  melalui  terowong tersebut yang  merupakan satu kegiatan yang  menguntungkan di sempadan kerana mereka yang melaluinya dikenakan cukai oleh kerajaan Hamas.

Kepala terowong itu di Mesir bermula di sebuah rumah  tinggal di sempadan Rafah, manakala di bahagian Palestin ia berakhir dengan sebuah bangsal buruk yang boleh diruntuhkan bila-bila masa sekiranya dikesan oleh Israel.


Terowong seludup kenderaan

Ketika melalui terowong yang berkedalaman 10 meter dan 200 meter panjang itu, penulis  merasai debaran kerana bila-bila masa boleh diletupkan oleh jet pejuang Israel.

Kadang kala penulis terpaksa tunduk kerana keadaan sempit dan suasana  agak gelap dengan sesekali cahaya lampu yang dipasang beberapa meter selepas melaluinya.  

Terowong ini dipasak dengan kayu di kiri dan kanan serta bahagian atasnya bagi memastikannya kukuh dan mengelak  dari berlakunya runtuhan.

Ketika melaluinya juga, beberapa pemuda mengambil kesempatan dengan mengambil  upah di tengah-tengah laluan walaupun  bayaran telah dijelaskan di peringkat awal.

Setiap terowong ini dikawal oleh kumpulan yang mempunyai rangkaian dengan Hamas, malah mereka mempunyai jaringan berpengaruh di Mesir yang akan mengawal semasa aktiviti ini berjalan.

Apa yang mengejutkan, ada sesetengah terowong  yang digali untuk menyeludup kenderaan seperti lori dan kereta kepada penduduk Gaza.

Kewujudan terowong seperti inilah membolehkan pelbagai model kenderaan dapat dilihat di atas jalan raya di bandar Gaza, termasuk model keluaran terbaru.  

Namun, aktiviti ini sememangnya disedari tentera Israel dengan bertindak mengebom sehingga mengorbankan ratusan rakyat Palestin yang menggunakan laluan ini.
Penulis adalah Mohd Zailani Abd Rahman - Sinar Harian

No comments: