Thursday, 4 October 2012

WARGA ASING ADA MYKAD....???

Mohd Ridzuan (tengah) bersama ahli Ikhlas menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam. Pix: Sinar Harian
Mohd Ridzuan (tengah) bersama ahli Ikhlas menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam. Pix: Sinar Harian


KUALA LUMPUR: Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) mendakwa wujudnya pihak tidak bertanggungjawab membekalkan MyKad dan pasport palsu kepada warga asing khususnya golongan peniaga dan penjaja.
Presidennya, Mohd Ridzuan Abdullah berkata, hasil maklumat yang dikumpul pihaknya, didapati kira-kira 50 peratus peniaga dan penjaja warga asing di negara ini terutamanya warga Pakistan dan Bangladesh memiliki MyKad biru.

Menurutnya, MyKad dan pasport antarabangsa palsu itu boleh diperoleh dengan harga RM18,000 hingga ke RM50,000.

“Dokumen tersebut akan menggunakan maklumat warga tempatan, tetapi menggunakan gambar warga asing tersebut. Contohnya seperti nama saya, saya dapati ada tiga orang guna maklumat sama.

“Terdapat satu kes di Seremban, warga Bangladesh menggunakan pasport antarabangsa palsu dan bekerja sebagai kontraktor yang mengambil kontrak di balai polis selama tempoh lima ke enam tahun, termasuk melakukan jenayah.

"Warga asing ini ditahan dan dihantar pulang ke Bangladesh, namun kini kembali ke Malaysia membuat kerja sama,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan di Balai Polis Travers, Bangsar, di sini, semalam.

Ridzuan berkata, beliau bersama ahli Ikhlas yang lain mengumpul maklumat berhubung perkara tersebut dalam tempoh setahun ini.

“Saya sendiri turun padang, menyamar dan bergaul dengan peniaga warga asing ini untuk memperoleh maklumat. Kami ada bukti berhubung perkara ini untuk diserahkan bersama memorandum yang akan dihantar kepada Perdana Menteri,” katanya.

Menurutnya, perkara tersebut menjadi ancaman kepada negara berikutan lambakan warga asing tidak terkawal.

“Sekarang ini, Melayu merupakan yang paling ramai di Malaysia, diikuti dengan Cina, dan warga asing. Kaum India lebih sedikit berbanding warga asing. Jika keadaan ini berterusan, warga asing mampu mengatasi jumlah Melayu.

“Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu tegas kerana isu ini melibatkan menjual keselamatan negara. Ikhlas mahu SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) siasat habis-habisan berhubung perkara ini,” katanya.

Ikhlas membuat laporan polis dengan menyenaraikan beberapa isu menjual keselamatan negara disebabkan wujudnya keadaan di mana warga asing yang dengan mudah memiliki MyKad biru, juga berkaitan dengan tender Mykad yang diberi kepada syarikat swasta, termasuk rasuah dalam kakitangan kerajaan.

Malaysian Digest 4/10/12

No comments: