Monday 29 October 2012

RAKYAT MALAYSIA TERLIBAT AL-QAEDA, PENGEBOM BERANI MATI......!!!


Dua lelaki rakyat Malaysia disyaki anggota kumpulan al-Qaeda yang ditahan di Beirut, Lubnan, minggu lalu tidak menjadikan negara ini sebagai sasaran serangan pengganas.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata mereka beroperasi di Asia Barat dan tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan pengganas di rantau ini seperti kumpulan Jemaah Islamiah (JI) atau Darul Islam.
 
Bagaimanapun, beliau bimbang dengan pembabitan rakyat Malaysia dalam aktiviti kumpulan pengganas dari Asia Barat. 

“Memang wujud kumpulan pengganas, termasuk di negara kita tetapi dipantau secara dekat dan kita tahu siapa mereka. 

Namun, ia tidak boleh dipandang ringan kerana sebelum ini pembabitan rakyat negara ini terhad kepada kumpulan pengganas di rantau ini saja.

Pembabitan mereka dalam kumpulan al-Qaeda perlu diteliti dan disiasat secara mendalam, katanya selepas Majlis Korban Perdana Parlimen Sembrong, di pekan Kampung Gajah, di sini semalam.

Semalam media melaporkan Rafik Mohammed Aaref, 21, dan Mohammed Razin Shaaban, 28, dipercayai menjadi pengebom berani mati, ditahan pihak berkuasa Lubnan di Beirut, pada Khamis lalu kerana disyaki terbabit dengan kumpulan al-Qaeda.
 
Mereka ditahan di sebuah hotel di ibu negara Lubnan itu sebelum diserahkan kepada tribunal tentera Lubnan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata Kedutaan Besar Malaysia di Lubnan sedang berusaha bertemu mereka yang menghadapi pertuduhan terbabit dengan kumpulan pengganas al-Qaeda.

Katanya, buat masa ini, siasatan masih dijalankan pihak berkuasa Lubnan dan Kementerian Luar memantau perkembangan kes berkenaan.

Mereka sudah dihadapkan ke Mahkamah Tentera di Beirut pada 25 Oktober di mana pertuduhan dibacakan serta akan dihadapkan semula ke mahkamah hari ini. Keluarga mereka juga sudah dimaklumkan, katanya dalam satu kenyataan.

Anifah menegaskan, Malaysia tidak menyokong sebarang fahaman radikal yang boleh menjejaskan keselamatan sesebuah negara serta rakyatnya dan d.alam hal ini, Malaysia menghormati sepenuhnya undang-undang Lubnan.

Berita Harian

No comments: